Pemburu haram Vietnam disiasat berhubung kematian 9 primat

Pemburu haram Vietnam disiasat berhubung kematian 9 primat

HANOI, 30 Ogos – Polis Vietnam sedang menyiasat pembunuhan sembilan primat terancam yang bahagian anggota badannya digunakan untuk perubatan tradisional, kata para pegawai hari ini.

Black-shanked douc – sejenis monyet dengan wajah biru-kelabu dan ekor panjang – antara spesies yang jarang ditemui, serta terancam di negara komunis itu di mana perdagangan hidupan liar semakin bertambah.

Polis sedang menyiasat tiga lelaki berusia antara 19 hingga 35 tahun yang disyaki memburu haiwan itu, kata penyiasat, Mai Hong Quang kepada AFP.

“Mereka ditangkap membawa haiwan yang telah dikeringkan itu di atas basikal mereka pada Julai. Kami kini menegah mereka untuk meninggalkan kediaman mereka, untuk siasatan lanjut,” kata Quang.

“Lelaki itu memberitahu kami yang mereka ingin menjual primat kering yang mereka tembak mati dalam hutan untuk digunakan dalam perubatan tradisional,” kata Quang.

Jika didakwa dengan pembunuhan spesies terancam, lelaki berkenaan boleh berdepan kira-kira tujuh tahun dalam penjara dan denda sebanyak 100 juta dong (AS$4,480).

Vietnam merupakan kediaman kepada beberapa spesies paling terancam di dunia, termasuk antelop gunung Saola, penyu gergasi cangkerang lembut Red River dan monyet berhidung pendek Tonkin. – AFP