Pemedulian 243 anak yatim

Pemedulian 243 anak yatim

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 7 Julai – Majlis melaksanakan pembahagian derma kepada anak-anak yatim Daerah Temburong bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1436 Hijrah bersamaan 2015 Masihi berlangsung hari ini di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pegawai Daerah Temburong, selaku Pengerusi Tabung Anak Anak Yatim Daerah Temburong sesi 2015-2017, Awang Md Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, ketua-ketua cawangan, Jawatankuasa Tabung Anak-anak Yatim Daerah Temburong, peniaga-peniaga dan para penyumbang serta penerima terdiri dari anak-anak yatim Daerah Temburong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Imam Masjid Utama Muhammad Salleh Pekan Bangar, setelah itu beliau terus memimpin bacaan Tahlil dan Doa Selamat.

Tetamu kehormat ketika menghadiri Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Daerah Temburong yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.
Tetamu kehormat ketika menghadiri Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Daerah Temburong yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.

Seterusnya majlis penyampaian sumbangan derma kepada seramai 243 orang anak-anak yatim Daerah Temburong yang disempurnakan oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan penyampaian sumbangan daripada syarikat-syarikat perniagaan dan orang perseorangan.

Setiap orang anak-anak yatim menerima sumbangan $150 dari Tabung Anak-Anak Yatim Daerah Temburong, $50, $30 dari Bank BIBD sementara bagi anak-anak yatim beragama Islam juga menerima sejumlah $30 yang disumbangkan oleh Haji Mohd Taib bin Haji Osman.

Dengan adanya sumbangan derma tersebut nanti akan dapat meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim semasa menyambut bulan Syawal nanti dan dihasratkan mereka akan dapat membelanjakan duit berkenaan dengan sebaiknya, sekali gus menabung bagi kegunaan di masa depan.

ARTIKEL YANG SAMA