Pemedulian 41 kanak-kanak Sindrom Down

Pemedulian 41 kanak-kanak Sindrom Down

Oleh Faridah Ibrahim
BAHAGIAN Perkhidmatan Radio, Radio Televisyen Brunei (RTB) baru-baru ini mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Sindrom Down Daerah Brunei dan Muara bertempat di Restoran McDonald’s, Gadong sempena Projek Jalinan Kasih 2015.

Ia merupakan projek kali ke-7 sejak diperkenalkan pada tahun 2009. Projek Jalinan Kasih bagi tahun ini adalah dengan kerjasama di antara RTB dan Makan Ceria Sdn Bhd.

Sekumpulan seramai 41 orang kanak-kanak Sindrom Down bersama ibu bapa dan penjaga mereka telah dijemput menyertai acara bersungkai majlis tersebut yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Haji Fahmie bin Haji Awang Metussin.

Seterusnya ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengurus Am, Makan Ceria Sdn Bhd , Awang Md Al-Fatah bin Haji Seruji dan diikuti ucapan penghargaan oleh Ketua Rancangan Bahagian Radio RTB, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud.

Bagi memberkati majlis tersebut, bacaan Tahlil turut diadakan dan disusuli sumbangan derma kepada mereka berkeperluan khas oleh tetamu kehormat majlis, Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

Tetamu Kehormat Majlis Pengarah Radio Televisyen Brunei telah menyampaikan derma kepada salah seorang kanak kanak Sindrom Down
Tetamu Kehormat Majlis Pengarah Radio Televisyen Brunei telah menyampaikan derma kepada salah seorang kanak kanak Sindrom Down
Salah seorang kanak kanak Sindrom Down
Salah seorang kanak kanak Sindrom Down

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua Persatuan Sindrom Down Brunei, Awang Tuming bin Haji Jais.

Restoran Mc Donald dan Makan Ceria Sdn Bhd merasa berbangga untuk berbakti dan berkhidmat. Sama ada menyokong sukan tempatan, membantu artis muda berbakat, melalui penglibatan dalam badan amal dan peristiwa-peristiwa yang memberi inspirasi kepada dunia tempatan, menyumbang semula adalah bahagian yang penting dalam cara restoran beroperasi setiap hari.

Di bulan Ramadan ini juga, Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd menyumbang makanan ke masjid setiap hari untuk bersungkai selama satu minggu dan juga menyediakan sungkai kepada 200 penuntut yang menghuni di Asrama Maktab Duli selain menjadi tuan rumah acara penghargaan bersungkai untuk pasukan bola jaring kebangsaan, Pasukan Royal Bees, yang memenangi pingat gangsa dalam Sukan Sea ke-28 baru-baru ini di Singapura.

Projek Jalinan Kasih dilaksanakan setahun sekali pada setiap Ramadan, bertujuan membantu mereka yang berkeperluan seperti anak-anak yatim, orang-orang kurang upaya, ibu-ibu tunggal, saudara-saudara baru dan yang seumpamanya.

Tujuan projek tersebut diadakan adalah semata-mata memenuhi tanggungjawab sosial warga RTB kepada masyarakat amnya di samping sebagai amal jariah bagi menyemarakkan Ramadan yang mulia ini.

ARTIKEL YANG SAMA