Pemedulian 42 anak yatim Sekolah Ugama Serusop

Pemedulian 42 anak yatim Sekolah Ugama Serusop

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd, hari ini, meraikan seramai 42 orang anak yatim dari Sekolah Ugama Serusop pada majlis Khatam Al-Quran dan berbuka puasa yang diadakan di Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rizal (MTSSR) Kampung Serusop.

Majlis yang merupakan salah satu Projek Al-Birr Wat Taqwa itu dihadiri oleh Timbalan menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan surah, Takhtim serta Doa Khatam Al-Quran dan bacaan Doa Tahlil. Tetamu kehormat kemudiannya berkesudian untuk menyampaikan sumbangan derma dan baucar pembelian kepada 42 orang anak yatim dan menyerahkan wakaf Darussalam Holdings Sdn Bhd kepada surau berkenaan yang berupa enam gulung sejadah, kabinet, alat penyaman udara dan permaidani bagi ruang sembahyang wanita.

Seterusnya diadakan doa kesyukuran ulang tahun Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Dikir Marhaban, kemudian berakhir sejurus sebelum azan Maghrib sebelum tetamu kehormat dan jemaah sekalian berbuka puasa dan menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.

Tetamu kehormat (kedua dari kiri) mengetuai pembacaan Surah Al-Fatihah.
Tetamu kehormat (kedua dari kiri) mengetuai pembacaan Surah Al-Fatihah.
Sebahagian daripada anak yatim Sekolah Ugama Serusop yang menerima sumbangan derma dan baucar pembelian.
Sebahagian daripada anak yatim Sekolah Ugama Serusop yang menerima sumbangan derma dan baucar pembelian.

Al-Birr Wat Taqwa merupakan projek kemasyarakatan yang ditubuhkan pada 2009 oleh Darussalam Holdings Sdn Bhd dengan matlamat utamanya untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang keupayaan di negara ini. Bagaimanapun, pada tahun ini, perubahan dibuat yang mana syarikat itu memberikan tumpuan kepada anak-anak yatim.

ARTIKEL YANG SAMA