Pemedulian terhadap anak yatim, warga emas

Pemedulian terhadap anak yatim, warga emas

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Di bulan Ramadan Al-Mubarak dan sebelum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, golongan anak-anak yatim dan warga emas di negara ini sentiasa mendapat perhatian pihak-pihak berkenaan yang sangat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Sehubungan itu, seramai 645 orang anak yatim dari seluruh Kampong Ayer dan seramai 113 warga emas dari Mukim Peramu menerima sumbangan derma peribadi daripada Penghulu Mukim Peramu, Pengarah Haji Ismit bin Pengarah Mukim Haji Naim pada majlis yang berlangsung di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat yang juga menyampaikan sumbangan derma Pengarah Haji Ismit, ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abd Karim.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut merupakan acara yang diadakan setiap tahun kerana keprihatinan dan rasa simpati beliau terhadap anak-anak yatim dan orang tua-tua serta sebagai satu niat baginya dan berharap ia akan dapat dilaksanakan pada tahun-tahun yang mendatang selagi ada kemampuan.

Majlis diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Ketua Kampung Dato Gandi, Haji Puteh bin Jukin.

pg04_150707_b

Sebahagian daripada penerima sumbangan derma peribadi daripada Penghulu Mukim Peramu, pada majlis yang berlangsung di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara kelmarin.
Sebahagian daripada penerima sumbangan derma peribadi daripada Penghulu Mukim Peramu, pada majlis yang berlangsung di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara kelmarin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, penghulu-penghulu mukim dan Ketua-ketua Kampung Daerah Brunei Muara.

Beberapa orang warga emas ketika ditemui menyatakan rasa kesyukuran mereka terhadap sumbangan yang diterima itu kerana ia dapat membantu mereka dari segi perbelanjaan berbuka puasa dan akan digunakan juga untuk membeli keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Seorang ibu kepada seorang anak yatim ketika ditemu bual pula turut menyatakan rasa syukurnya ke hadrat Allah SWT atas sumbangan pihak-pihak berkenaan yang tidak pernah melupakan kebajikan anak-anak yatim di negara ini.

Sumbangan itu, jelasnya, sedikit sebanyak dapat membantu dari segi perbelanjaan harian bagi anak beliau yang masih di bangku sekolah dan seterusnya melahirkan penghargaan atas sumbangan amal jariah bagi meringankan bebanan anak yatim.

ARTIKEL YANG SAMA