Pemedulian terhadap masyarakat jadi keutamaan k’jaan

Pemedulian terhadap masyarakat jadi keutamaan k’jaan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 15 Jun – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini telah mengendalikan Program Kembara Ramadan 1437 Hijrah bagi Daerah Tutong dengan mengadakan Majlis Bertadarus dan Khatam Al-Quran Belia di Masjid Perpindahan Kampung Bukit Beruang, Tutong.

Majlis juga diselajurkan dengan Program Sumbangan Amal Bulan Ramadan bagi Daerah Tutong kepada orang susah termasuk ibu tunggal, warga emas dan orang berkeperluan khas.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi kedua-dua acara berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Majlis Bertadarus dan Khatam Al-Quran pagi tadi melibatkan seramai 200 orang belia Daerah Tutong yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, persatuan-persatuan belia di Daerah Tutong, kumpulan belia masjid, penuntut-penuntut sekolah menengah, Pusat Tingkatan Enam dan Mahad Islam Brunei serta penduduk kampung.

Majlis ini merupakan salah satu projek tahunan KKBS bersempena dengan bulan Ramadan yang mubarak, dan sejak mula dianjurkan pada 2003, ia telah melibatkan banyak pihak yang berkaitan dengan ehwal belia di keempat-empat daerah, termasuk agensi-agensi kerajaan, persatuan belia dan tidak ketinggalan golongan belia sendiri.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir ke rumah penerima pertama di Kampung Bukit Beruang.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir ke rumah penerima pertama di Kampung Bukit Beruang.

Antara lain tujuan majlis ini adalah untuk menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan di samping untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran.

Ia juga diharap akan dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Selepas menunaikan solat fardu Zohor berjemaah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berserta rombongan kemudiannya pergi ke rumah penerima pertama di Kampung Bukit Beruang bagi menyampaikan sumbangan amal bulan Ramadan 1437H.

Kemudian kembara amal diteruskan ke beberapa buah rumah lagi di Kampung Long Mayan dan Kampung Kebia.

Yang Berhormat Pehin, ketika ditemu bual berkata, usaha untuk memeduli pihak-pihak yang memerlukan bantuan ini memang menjadi keutamaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui KKBS.

Melalui usaha-usaha sumbangan amal ini, menurut beliau, merupakan salah satu cara yang berkesan, yang mana ia bukan sahaja tertumpu kepada KKBS, bahkan agensi-agensi lain seperti kementerian-kementerian lain juga ikut terlibat berusaha dan memberikan sumbangan kepada para penerima terutama golongan-golongan yang kurang berkemampuan.

Ujar beliau lagi, isu-isu kemiskinan merupakan salah satu topik utama yang ditekankan oleh Majlis Kebangsaan Isu-Isu Sosial (MKIIS).

Oleh itu, beberapa usaha dan pendekatan-pendekatan baru telah pun dibuat MKIIS bagi membasmi dan mengurangkan kadar kemiskinan ialah dengan membuat kaedah, iaitu memilih 100 orang yang benar-benar memerlukan bantuan untuk dibantu dari ketua keluarga hingga anak-anaknya agar mendapatkan sumber pendapatan yang lebih stabil dan diberikan pekerjaan bagi yang belum memperolehi pekerjaan, dan perkara ini perlu diselesaikan, jelas Yang Berhormat Pehin.

Sumbangan berupa hamper Hari Raya dan barang-barang keperluan harian lainnya itu bertujuan untuk membantu dan meringankan beban orang susah, warga emas dan orang berkeperluan khas bagi memberikan kegembiraan kepada mereka agar sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh keriangan dan kesyukuran.

Turut hadir bagi menyampaikan sumbangan ialah Setiausaha-setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Turut menyertai rombongan ialah pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

ARTIKEL YANG SAMA