Pemedulian warga emas

Pemedulian warga emas

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Dis – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Telisai Daerah Tutong tidak meminggirkan warga emas dalam kehidupan mereka apabila mengadakan acara berdudun untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman hidup dengan mereka, di samping menyuntik semangat dan memedulikan mereka.

Acara berdudun yang diadakan baru-baru ini juga bertujuan memberi penghormatan dan penghargaan serta mengenang jasa-jasa mereka. Ia merupakan kali kedua ia diadakan dan acara susulan dari Majlis Sambutan Perhimpunan Warga Emas dan bersempena Hari Antarabangsa Warga Emas 2015 yang diadakan baru-baru ini.

Turut hadir di acara berdudun itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai, dan Ketua Kampung Telisai, Awang Maidin bin Abdul Wahid, serta ahli-ahli MPM Telisai.

Semasa acara tersebut, rombongan berdudun telah membuat lawatan ke rumah salah seorang penduduk kampung tersebut, Awang Bakri bin Jaya yang berusia 92 tahun.

Awang Bakri pernah berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) selama 30 tahun dan berasal dari Kampung Penyatang, iaitu sebuah kampung yang dulunya pernah wujud di Mukim Telisai.

Yang Berhormat Haji Ramli ketika berbual bersama Awang Bakri.
Yang Berhormat Haji Ramli ketika berbual bersama Awang Bakri.
Rombongan bergambar ramai bersama sepasang warga emas, Awang Ibrahim dan isteri.
Rombongan bergambar ramai bersama sepasang warga emas, Awang Ibrahim dan isteri.
Awang Bakri semasa ditemui wartawan Media Permata.
Awang Bakri semasa ditemui wartawan Media Permata.

Beliau mula berpindah ke Kampung Telisai sebelum Jambatan Telisai dibina, sebelum tahun 1958. Pada ketika itu, Kampung Telisai belum lagi ramai penduduknya, jelasnya semasa Acara Berdudun ke di rumahnya, di Kampung Sungai Jambu, Telisai.

Selepas menziarahi Awang Bakri, rombongan seterusnya menziarahi rumah sepasang warga emas di Kampung Tumpuan Telisai iaitu Awang Ibrahim bin Assan bersama isteri, Hajah Nafsiah @ Norsiah binti Jali.

Awang Haji Ibrahim dan isterinya, Hajah Nafsiah, 79 tahun, berkahwin pada tahun 1951 dan mempunyai 10 orang anak iaitu 3 lelaki dan 7 perempuan. Mereka mula tinggal di Kampung Telisai sebelum Jambatan Telisai siap pada tahun 1958.

Haji Ibrahim semasa ditemubual Media Permata, menjelaskan beliau dahulunya pernah bekerja di salah sebuah syarikat cawangan Shell selama 10 tahun. Beliau mengongsikan pengalamannya bekerja dengan hanya berjalan kaki tanpa menggunakan kasut ataupun selipar dari tempat rumahnya menuju ke tempatnya kerja.

Beliau turut memberikan tip dalam kehidupan suami isteri iaitu mengamalkan sikap bergurau senda, jujur dan saling percaya antara satu sama yang lain.

Dalam acara berdudun itu, warga emas yang dikunjungi juga turut menerima sumbangan derma daripada MPM Telisai.

Di samping berkongsi pengalaman hidup dan sejarah Kampung Telisai bersama mereka, ia juga dapat mengeratkan tali silaturahim sesama mereka melalui susur jalur hubungan kekeluargaan (salasilah) di kampung berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA