Pemegang biasiswa kerajaan diseru pulang

Pemegang biasiswa kerajaan diseru pulang

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Pemegang biasiswa yang mengikat janji dengan kerajaan diseru untuk pulang dan berbakti kepada negara selesai pengajian mereka terutamanya dalam jurusan yang amat diperlukan perkhidmatan mereka oleh kerajaan.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman pada Mesyuarat Pertama daripada Musim Permesyuaratan ke-12 hari ketiga, ketika menjawab isu pemegang biasiswa yang minta dilepaskan, ditimbulkan Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, kursus seperti doktor perubatan, tidak akan dilepaskan daripada ikat janji memandangkan khidmat mereka masih diperlukan oleh Kementerian Kesihatan.

“Manakala bagi jurusan perguruan pula, mereka yang diikat janji juga tidak akan dilepaskan kerana mereka akan diambil menjadi guru apabila tamat pengajian kelak, kecuali dalam kes-kes seperti mata pelajaran yang mereka ajarkan itu tidak diperlukan lagi atau tidak ramai penuntut yang mengambilnya, maka disebabkan itu gurunya berlebihan. Mungkin dalam kes-kes seperti ini, permohonan untuk dilepas daripada ikat janji mungkin dapat dilayan dengan bersyarat,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyuarakan isu tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyuarakan isu tersebut.

pg01_160309_MMN-_Logo

Bagi lain-lain jurusan, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa para pemegang biasiswa berkenaan hanya akan dilepas daripada ikat janji dengan bersyarat iaitu jika tidak dapat sebarang pekerjaan dalam kerajaan mahupun dalam ‘government link companies’ (syarikat milik kerajaan), maka mereka bolehlah dipertimbangkan untuk dilepas daripada ikat janji, jika mereka memohon.

“Dalam keadaan demikian, mereka bolehlah bekerja dengan mana-mana jua pihak swasta dengan dikenakan syarat-syarat tertentu jua. Jika tidak mendapat sebarang pekerjaan dalam negeri, mungkin barulah dipertimbangkan untuk mereka dilepas daripada ikat janji jika mereka mendapat pekerjaan di luar negeri.

“Dan jika mereka mendapat pekerjaan di luar negeri, mereka juga akan dikenakan dengan syarat-syarat tertentu iaitu mereka masih terikat dengan biasiswa. Jika ada keperluan timbul di masa hadapan untuk mereka bekerja di Brunei Darussalam, mereka akan dikehendaki untuk menyambung perkhidmatan mereka di dalam negara,” tambah Yang Berhormat Pehin.

ARTIKEL YANG SAMA