Pemenang bertuah Kempen Kad Debit BIBD

Pemenang bertuah Kempen Kad Debit BIBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Seorang pemenang bertuah bagi Kempen Kad Debit Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, membawa pulang hadiah berupa Pakej Membeli-Belah Tahun Festival Malaysia (MyFest 2015) selama tiga hari berserta 100,000 Mata Hadiah BIBD.

Pakej berkenaan termasuk tiket penerbangan pergi balik, tempat penginapan, pengangkutan dari dan ke lapangan terbang serta kereta sewa selama 12 jam bagi keperluan membeli-belah untuk dua orang di Kuala Lumpur.

Di samping itu, pemenang juga menerima baucar membeli-belah Parkson Malaysia bernilai RM100 dan dua tiket ke Festival Jaz Borneo, selaras dengan kempen Tahun Festival 2015 oleh Tourism Malaysia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, Mata Hadiah BIBD, yang juga boleh dikumpulkan menerusi transaksi menggunakan kad-kad Debit dan Kredit BIBD, boleh ditukar bagi pengecualian bayaran tahunan, didermakan kepada pertubuhan amal, air miles dan juga wang tunai.

Penyampaian hadiah semasa Pameran Rumah BIBD, di The Mall, Gadong, telah disempurnakan oleh Pengurus Produk BIBD (Kad), Dayangku Hajah Siti Amal Zuria binti Pengiran Haji Jadid dan Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Dayang Zurina binti Abdul Samad.

Pemenang bertuah Kempen Kad Debit BIBD, bersama-sama anggota keluarga bergambar ramai selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Dayangku Hajah Siti Amal Zuria dan Dayang Zurina.
Pemenang bertuah Kempen Kad Debit BIBD, bersama-sama anggota keluarga bergambar ramai selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Dayangku Hajah Siti Amal Zuria dan Dayang Zurina.

Kempen ini berjalan dari 14 Mac sehingga 5 April 2015 bersempena Jualan 1Malaysia GP yang juga bertepatan dengan Grand Prix Formula 1 Malaysia.

Menurut kenyataan itu, para pelanggan BIBD secara automatik menyertai kempen ini apabila mereka membuat pembayaran dengan menggunakan Kad Debit BIBD mereka di kedai-kedai di Malaysia.

Kempen ini adalah sebahagian daripada kerjasama BIBD dengan Tourism Malaysia, yang akan bermula semula pada akhir Jun bertepatan dengan Karnival Jualan Mega 1Malaysia dan juga pada pertengahan November bagi Jualan Akhir Tahun 1Malaysia masing-masing bagi kempen kedua dan terakhirnya.

Selain itu, BIBD juga sedang menjalankan promosi “Let’s Go Mobile” menerusi aplikasi peranti BIBD, yang mana para pemenang bertuah berpeluang sama ada memenangi iPhone 6, iPhone 6 Plus atau jam tangan Apple setiap bulan, sehingga 30 Julai 2015.

ARTIKEL YANG SAMA