Pemenang bertuah Pelangi FM naiki kapal persiaran

Pemenang bertuah Pelangi FM naiki kapal persiaran

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Tujuh pemenang bertuah yang berjaya menjawab soalan kuiz di Stesen Radio Pelangi FM sejak Mac lalu, telah berpeluang menaiki kapal persiaran River Cruise Brunei bersama Penyiar Radio Pelangi FM, DJ Ashraff Rannil, petang kelmarin.

DJ Ashraff Rannil ketika ditemu bual oleh Media Permata, menjelaskan, program pelayaran persiaran di Sungai Brunei itu merupakan hadiah berharga buat para pendengar setia rangkaian Pelangi FM yang berjaya menjawab dengan betul soalan kuiz Kenali Negara Kitani (KNK) yang bersiaran setiap hari Rabu, Khamis dan Sabtu.

Acara seumpamanya diadakan adalah untuk menggalakkan para pendengar setia rangkaian berkenaan untuk mengetahui tempat-tempat menarik negara kitani menerusi kuiz yang disediakan, merebut peluang menyaksikan keindahan Sungai Brunei dengan menaiki kapal persiaran River Cruise Brunei di samping dapat menjalinkan hubungan erat antara pendengar setia dan penyampai radio DJ Ashraff Rannil dan kru-kru kapal.

DJ Ashraff bersama pemenang-pemenang bertuah Kuiz KNK Pelangi FM.
DJ Ashraff bersama pemenang-pemenang bertuah Kuiz KNK Pelangi FM.

DJ Ashraff juga berharap kerjasama antara Stesen Radio Pelangi FM bersama River Cruise Brunei ini, akan dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa menerusi Program Kuiz KNK yang dapat memberi peluang kepada pendengar setia menyaksikan keindahan Sungai Brunei.

Semasa pelayaran itu, DJ Ashraff Rannil bersama para pemenang berpeluang menyaksikan panorama matahari terbenam dan keindahan sekitar Kampong Ayer dalam perjalanan selama dua jam yang dimulakan dari Jeti Queen Elizabeth II, Jalan Kota Batu dan seterusnya melintasi kawasan Dermaga Diraja.

ARTIKEL YANG SAMA