Pemenang bertuah Sabre Travel Network terima hadiah

Pemenang bertuah Sabre Travel Network terima hadiah

Oleh Syahmi Hassan

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Sabre Travel Network (Brunei) Sdn Bhd, awal bulan ini, telah menganjurkan Pesta Pelancongan Brunei dan hari ini mereka mengadakan cabutan bagi mencari pemenang bertuah daripada seramai 12,600 pengunjung yang hadir semasa pesta berkenaan.

Cabutan bertuah berkenaan telah diadakan di Restoran Dynasty, Hotel Centrepoint, Gadong dan dihadiri oleh wakil-wakil dari Sabre Travel Network Brunei, Bank Baiduri Berhad, Royal Brunei Airlines, Tourism Malaysia dan agensi-agensi pelancongan lain.

Majlis berkenaan menyaksikan cabutan bagi Cabutan Bertuah Travel Bug Campaign tajaan Royal Brunei Airlines, cabutan bertuah tiket penerbangan pergi balik tajaan Malaysia Airlines Berhad, cabutan bertuah tiket penerbangan pergi balik tajaan Royal Brunei Airlines, dan cabutan bertuah bagi GoPro Hero 4 serta tiga set bagasi pelancongan eksklusif Dfavors yang ditaja oleh Sabre Travel Network Brunei.

Bagi Kempen Travel Bug, Jonathan Chua Cheng Chong memenangi hadiah utama berupa tiket penerbangan ke mana-mana destinasi pilihan serantau (kecuali Kota Kinabalu) dengan hanya membayar $10.

Bagi cabutan bertuah tiket penerbangan pergi balik tajaan Malaysia Airlines Berhad, Venkatesh Marakutty Santhanam dan Muthu Muhammad Nachiar Mohideen Maraicair masing-masing memenangi tiket penerbangan ke Denpasar, Bali melalui Kuala Lumpur dan tiket penerbangan ke Phuket melalui Kuala Lumpur.

Awang Abdul Halim (kiri) bergambar ramai bersama para pemenang cabutan bertuah tajaan Sabre Travel Network Brunei.
Awang Abdul Halim (kiri) bergambar ramai bersama para pemenang cabutan bertuah tajaan Sabre Travel Network Brunei.
Sesi gambar ramai para pemenang cabutan bertuah tajaan Royal Brunei Airlines.
Sesi gambar ramai para pemenang cabutan bertuah tajaan Royal Brunei Airlines.

Manakala itu, bagi cabutan bertuah tiket penerbangan pergi balik tajaan Royal Brunei Airlines, Dayangku Siti Khairunisa Akmal binti Pengiran Kamaluddin telah memenangi satu tiket penerbangan kelas perniagaan (business class) ke Ho Chi Minh.

Bagi cabutan bertuah tajaan Sabre Travel Network Brunei, Awang Mohd Sahriman bin Mohd Salleh telah memenangi hadiah utama berupa GoPro Hero 4.

Selain itu, majlis juga menyaksikan penyampaian hadiah bagi pertandingan Instagram yang dikendalikan oleh Royal Brunei Airlines, yang telah dimenangi oleh Dayang Noor Khadijah binti Haji Omarali.

Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Sabre Travel Network Brunei, Awang Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan bahawa tempahan telah meningkat walaupun pengurangan dalam bilangan pengunjung berbanding tahun lepas.

Beliau juga berterima kasih kepada rakan-rakan kongsi yang turut menjayakan Pesta Pelancongan Brunei yang berlangsung dari 2 hingga 4 September lalu atas sokongan padu dan penyertaan mereka.

Antara rakan kongsi yang dimaksudkan adalah Royal Brunei Airlines, Bank Baiduri Berhad, Cityneon Brunei, Malaysian Airlines Berhad, Malaysia Tourism Promotion Board, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia, Mixel Digital, Royal Brunei Catering, Singapore Airlines, Anthony Tours & Travel Agency, At-Taqwa Travel Tours, Bank Islam Brunei Darussalam, Brunei Tourism, Century Travel Centre, Darussalam Holdings, Freme Travel Services, JJ TourService, Pan Bright Travel Service, Sarawak Tourism Board, Southern Cross Travel Agencies, Bank Standard Chartered, Straits Central Agencies, Taiwan Tourism Bureau dan Tourism Authority of Thailand.

ARTIKEL YANG SAMA