Pemenang BICTA diketahui hari ini

Pemenang BICTA diketahui hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Para pemenang Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2015 bakal diketahui semasa majlis penyampaian anugerah yang akan diadakan esok di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), di samping tiga kategori utama, empat anugerah khas juga akan disampaikan pada majlis itu, termasuk Usahawan Harapan yang merupakan anugerah baru diperkenalkan bagi individu-individu yang komited terutamanya usahawan baru dan pelajar pengajian tinggi yang mempunyai produk paling menyerlah dengan potensi pasaran.

Anugerah Pemaju Muda pula dibukakan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah yang menghasilkan perisian, perkakasan dan penyelesaian berintegrasi ICT paling inovatif.

Anugerah ICT Hijau menekankan ke atas produk-produk yang berkaitan dengan kemapanan, pemuliharaan, boleh digunakan semula atau alam sekitar.

Manakala itu, Anugerah Teknologi Baru, juga merupakan anugerah baru diperkenalkan bagi produk-produk yang menggunakan teknologi-teknologi baru seperti Internet of Things, Big Data, produk-produk boleh pakai dan teknologi yang membantu mewujudkan pasaran baru.

BICTA 2015 telah dilancarkan pada awal Mac lalu dan dibuka bagi penyertaan sekolah-sekolah termasuk rendah, menengah dan pengajian tinggi serta individu-individu dan syarikat ICT tempatan dalam tiga kategori utama iaitu Projek Sekolah, Projek Pengajian Tinggi dan Industri ICT, dengan pemenang pertama bagi setiap kategori masing-masing menerima wang tunai $2,500, $5,000 dan $10,000.

Menurut kenyataan AITI lagi, BICTA telah berfungsi sebagai platform bagi individu-individu, pelajar dan syarikat tempatan untuk menunjukkan bakat-bakat ICT mereka.

Setiap tahun, anugerah ini mengenal pasti inovasi-inovasi ICT tempatan yang cemerlang, memberi pengiktirafan kepada mereka untuk terus mencapai kejayaan dalam arena global menerusi penyertaan dalam pertandingan ICT antarabangsa dikenali sebagai Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA).

Para pemenang setiap kategori dalam BICTA 2015 ini akan dicalonkan untuk bertanding dalam Anugerah APICTA yang akan diadakan pada 18 hingga 22 November di Colombo, Sri Lanka.

Menurut AITI, penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam APICTA sejak 2008 telah berjaya mencatatkan kemenangan dua anugerah dan 14 anugerah kepujian setakat ini.

BICTA merupakan pertandingan ICT tahunan yang dimulakan oleh Kementerian Perhubungan dan dianjurkan bersama oleh AITI dan InfoCom Federation Brunei (IFB).

Ia antara lain bertujuan untuk menggalakkan inovasi dan kreativiti industri ICT dalam kalangan individu, pertubuhan dan syarikat-syarikat kecil dan sederhana.