Pemenang Cabaran Kata Laluan BruCERT terima hadiah

Pemenang Cabaran Kata Laluan BruCERT terima hadiah

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Pemenang Cabaran Kata Laluan yang diadakan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT) semasa TechXpo 2015, baru-baru ini telah menerima hadiah dalam majlis yang diadakan di IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS), Beribi, hari ini.

Daripada 710 kata laluan yang didaftarkan, Awang Al-Muhammad Nasrullah Ataullah bin Rahmat muncul sebagai pemenang keseluruhan apabila kata laluannya mengambil masa paling lama untuk dibuka.

Beliau memenangi kamera GoPro yang telah disampaikan oleh Ketua BruCERT, Haji Mas Zuraime bin Haji Abdul Hamid.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, cabaran anjuran BruCERT ITPSS ini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang pentingnya membuat kata laluan sukar difahami bagi melindungi para pengguna daripada pencerobohan yang tidak dibenarkan.

Dalam cabaran berkenaan, para peserta diperlukan membuat kata laluan unik dengan menggunakan kombinasi huruf dan simbol, yang mana ia mestilah sukar difahami, namun mudah diingati oleh orang yang membuatnya.

Pada akhir jerayawara, pasukan BruCERT akan menentukan berapa lama untuk membuka setiap kata laluan, dan peserta yang kata laluannya mengambil masa paling lama untuk dibuka memenangi cabaran itu.

Menurut Haji Mas Zuraime, ini merupakan cara yang baik untuk menunjukkan kepada orang awam bahawa lebih sukar kata laluan itu, lebih sukar bagi penggodam untuk membukanya.

“Pengguna dikehendaki mengingati kata laluan mereka untuk layak sebagai pemenang. Tidak ada gunanya membuat kata laluan yang sukar difahami tetapi tidak dapat mengingatinya.”

Cabaran Kata Laluan pertama kali diadakan pada tahun 2012 ketika Jerayawara Minggu Kesedaran Siber AITI, dan pada ketika itu seramai 223 orang menyertainya.

Tahun berikutnya, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun telah memenangi cabaran tersebut daripada sebanyak 328 penyertaan, dan tahun ini penyertaan meningkat kepada 710.

“Respons tahun ini sangat menggalakkan, ia bermakna kita dapat mencapai lebih ramai orang setiap kali kami mengadakan cabaran ini, yang sangat bagus bagi kesedaran awam,” ujar beliau.

Antara inisiatif lain BruCERT adalah dengan mengadakan ceramah kesedaran bagi sekolah-sekolah di seluruh negara dan menerbitkan rancangan radio Cyber Safe di rangkaian Pilihan FM.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang keselamatan dalam talian dan keselamatan maklumat, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.SecureVerifyConnect.info

ARTIKEL YANG SAMA