Pemenang Fit4Good terima hadiah

Pemenang Fit4Good terima hadiah

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Setelah enam bulan menjalani Program Fit4Good, Awang Muhammad Irfan bin Haji Nurhisyam berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 15.3 kg sekali gus diisytiharkan sebagai pemenang pertama program anjuran Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan.

Tempat kedua dimenangi oleh Dayangku Siti Nurhajibah binti Pengiran Matassan setelah berjaya menurunkan sebanyak 5.2 kg diikuti oleh Dayang Siti Nurul Farwizah binti Haji Mohaimin di tempat ketiga setelah berjaya menurunkan sebanyak 4.5 kg.

Mereka menerima hadiah masing-masing pada majlis penutupan program berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Akademik ITQSHHB, Awang Haji Mohd Suhairi bin Haji Dollah, di Dewan Kuliah, institut berkenaan di sini, pagi tadi.

Program Fit4Good tersebut bermula 27 Februari lalu merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran pelajar mengenai cara hidup sihat dan pengawalan berat badan.

Melalui program itu, markah akan diberikan kepada penuntut-penuntut berdasarkan kepada perubahan pada tabiat pemakanan, tahap kegiatan fizikal dan perubahan pada purata BMI. Tiga orang penuntut yang mendapat markah tertinggi diberikan hadiah sebagai insentif atau galakan, sementara tujuh orang penuntut mendapat sagu hati.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Awang Muhammad Irfan.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Awang Muhammad Irfan.
Antara penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang ikut serta dalam Program Fit4Good.
Antara penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang ikut serta dalam Program Fit4Good.

Program Fit4Good merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kesihatan dalam merangka langkah-langkah pencegahan dan pengawalan obesiti, terutama sekali pada pelajar dan remaja amnya serta selaras dengan strategi utama Kementerian Kesihatan, iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit dan Kesihatan Tanggungjawab Semua.

Satu kajian yang dinyatakan oleh Pusat Promosi Kesihatan sebelum ini mendapati bahawa jika obesiti tidak ditangani dari peringkat awal, kanak-kanak dan remaja yang obes akan membesar menjadi dewasa yang obes. Gejala obesiti dalam kalangan remaja sekolah didapati meningkat dari setahun ke setahun.

Hasil dapatan daripada Global School-based Health Survey 2014 yang telah dikendalikan di negara ini menunjukkan kadar obesiti kalangan penuntut berumur 13-15 tahun ialah 17.7 peratus.

Oleh itu, menangani isu obesiti di peringkat awal boleh menjadi satu strategi yang berkesan bagi membanteras penyakit-penyakit tidak berjangkit di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA