Pemenang Nobel India lancar kempen baru

NEW DELHI, 10 Sept – Luka dan lebam-lebam akibat kempen sebelumnya ke atas pekerja kanak-kanak, pemenang Hadiah Keamanan Nobel India Kailash Satyarthi berharap satu juta orang akan menyertai kempen terbarunya esok, menentang penderaan seksual dan penyeludupan kanak-kanak.

“Ia adalah perang ke atas rogol, perang ke atas penderaan seksual kanak-kanak dan penyeludupan disebabkan ia bukan jenayah biasa dan mereka tidak dapat diselesaikan menerusi pendekatan biasa,” beritahu Satyarthi kepada AFP dalam satu temu bual.

“Dua kanak-kanak didera secara seksual setiap jam. Seorang kanak-kanak hilang setiap lapan minit di India dan mereka bukan hilang ghaib,” kata Satyarthi.

“Kanak-kanak berkenaan diseludupi, dijual dan dibeli seperti haiwan. Ada kalanya pada harga yang lebih rendah daripada haiwan.”

Lebih 9,000 kanak-kanak diseludupi di India pada tahun 2016, meningkat hampir 25 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Kementerian Kemajuan Wanita dan Kanak-kanak.

Gambar fail Satyarthi menerima bunga daripada kanak-kanak sekolah sebelum acara perjumpaan media di Bangalore pada November 2015. – AFP

Kira-kira 14,000 kanak-kanak menjadi mangsa rogol dan gangguan seksual pada 2015, menurut data daripada Biro Rekod Jenayah Nasional.

Namun angka tersebut hanya sebahagian kecil daripada masalah sebenar, dengan pakar berkata kerajaan menganggar kurang jumlah di sebuah negara di mana jenayah sedemikian tidak dihebohkan.

Satyarthi berharap “Perarakan India,” yang akan dilancarkan dari kawasan selatan negara Kanyakumari dan berakhir di New Delhi pada 16 Oktober selepas berjalan menerusi 29 negeri dan tujuh wilayah kesatuan, akan membuka mata orang kepada masalah yang semakin meningkat itu. – AFP