Pemenang peraduan Euro 2016 dipilih

Pemenang peraduan Euro 2016 dipilih

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Sebanyak 21,086 penyertaan telah diterima bagi peraduan ‘Guess The Semi-Finalists – UEFA Euro 2016 France’ yang diterbitkan di akhbar Borneo Bulletin dan Media Permata sehingga 24 Jun yang lalu.

Walau bagaimanapun, hanya 185 penyertaan iaitu 128 melalui Borneo Bulletin dan 56 menerusi Media Permata, yang berjaya meneka dengan tepat empat pasukan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir iaitu Perancis, Jerman, Sepanyol dan Wales.

Sehubungan itu, undian bagi memilih nama pemenang bertuah telah diadakan hari ini oleh wakil-wakil dari Brunei Press Sdn Bhd, Setia Motors Sdn Bhd dan Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s Brunei) yang berlangsung di Bangunan Commercial Printing Services (CPS), Brunei Press Sdn Bhd, Beribi, di sini.

Pengundian dijalankan oleh Pengurus Besar, Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See; Pengurus Kanan Kewangan dan Operasi Brunei Press Sdn Bhd, Suzie Houng; Pengurus Jualan Setia Motors Sdn Bhd, Awang Fadi Sulaiman; Pereka Bentuk Grafik (Pemasaran), Nazim @ Jay; Eksekutif Sumber-sumber Manusia Makan Ceria Sdn Bhd, Dayang Noor Hafilah binti Mohamed Salleh dan Marketing Attachment, Liyana binti Azhar.

Dalam undian berkenaan, sebanyak 41 nama pemenang bertuah telah dipilih dan akan diumumkan dalam kedua-dua akhbar harian berkenaan pada 21 Julai ini.

Wakil-wakil dari ketiga-tiga buah syarikat membuat undian bagi pemilihan pemenang.
Wakil-wakil dari ketiga-tiga buah syarikat membuat undian bagi pemilihan pemenang.

Sementara majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 27 Julai 2016, pukul 3 petang di tempat yang akan dimaklumkan kemudian.

Awang Fadi Sulaiman, dalam temu bual ringkas menjelaskan bahawa penyertaan kali ini sangat memberangsangkan berbanding dengan pertandingan sebelumnya, sehinggakan Pengurus Besar mereka dari Asia Pasifik Hyundai Motor yang menyaksikan iklan tersebut di Borneo Bulletin memuji akan kerjasama yang diadakan bersama Brunei Press Sdn Bhd.

“Setia Motors Sdn Bhd telah pun bekerjasama dengan Brunei Press Sdn Bhd sejak tahun 2000 dalam pelbagai acara dan ia adalah kerjasama yang sangat baik dan berharap ia akan dapat diteruskan lagi di masa hadapan,” ujarnya lagi.

Manakala itu, Dayang Noor Hafilah ketika ditanya mengenai sambutan orang ramai mengenai penyertaan ini, melahirkan perasaan sangat teruja dan turut bergembira atas penglibatan pembaca kedua-dua akhbar.

“Aktiviti yang diadakan ini juga kebetulan di bulan Ramadan yang mana sebilangan peminat bola sepak juga turut menyaksikannya sebelum, selepas atau semasa waktu bersahur,” katanya sambil menambah, Makan Ceria Sdn Bhd juga berharap untuk terus bekerjasama dengan Brunei Press Sdn Bhd dalam acara-acara seperti ini setelah bekerjasama buat kali keduanya kali ini.

ARTIKEL YANG SAMA