Pemenang pertandingan Video AMBD terima hadiah

Pemenang pertandingan Video AMBD terima hadiah

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penipuan kewangan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah mengadakan Pertandingan Video Kesedaran Penipuan Kewangan dengan mengetengahkan dua kategori, iaitu untuk pelajar dan terbuka.

Sehubungan itu, penyampaian hadiah bagi para pemenang telah diadakan baru-baru ini di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Bandar Seri Begawan.

Dengan tajuk video ‘Desperate’, Awangku Sulaiman bin Pengiran Haji Aman dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menjuarai Kategori Pelajar, manakala itu tempat kedua dimenangi oleh Chung Ming Ru dan Dayang Nurul Hafizah binti Zakaria juga dari UBD dengan tajuk video mereka ‘Loving can hurt’.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh sekumpulan pelajar dari Politeknik Brunei yang terdiri daripada Awang Mohd Izzat Afifi bin Hassan, Awangku Mohd Akmal Muazzam bin Pengiran Mohammad Adam Nor-Islam, Awang Amin Yusuf bin Abdul Salam dan Awang Muhd Hafiy bin Awang Masri dengan tajuk video mereka ‘Tabung Dana’.

Bagi Kategori Terbuka, tempat pertama dimenangi oleh Awang Muhammad Abdul Mu’iz bin Darul dengan videonya ‘Tuah Malang’, sementara itu, Awang Mohammad Hanifi bin Haji Juffri dengan video bertajuk ‘The Pyramid’ dan Awang Amirul Jazli bin Jali dengan video ‘The Strager’, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Para pemenang bergambar ramai bersama hadiah masing-masing.
Para pemenang bergambar ramai bersama hadiah masing-masing.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah-hadiah sagu hati kepada Awang Abdul Hanan bin Haji Erwan, Dayang Nurul Fatin Haziqah binti Abdul Rahman, Dayang Siti Zuraidah @ ‘Aziyah As-Zahra binti Mat Jais dan Dayang Najihah binti Haji Ali dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi video mereka bertajuk ‘Power Power Lucky Draw’, dan Awang Muhammad Meerza Helmi bin Uzapuspa, Awang Muhammad Afiq Khairuddin bin Kamaluddin, Audrey Lim Hong Eng dan Awang Ahmad Fikri bin Zulbahri dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) bagi video mereka bertajuk ‘What are Financial Scams to You’.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah para pegawai dan kakitangan AMBD, hakim-hakim undangan iaitu Shaikh Haji Hanafiyah bin Shaikh Haji Ahmad dari Radio Televisyen Brunei RTB dan Dayang Siti Kamaluddin dari Origins Film Sdn Bhd, serta para pemenang pertandingan.

Video-video yang mendapat tempat pertama, iaitu ‘Desperate’ dan ‘Tuah Malang’ dapat ditonton di aplikasi AMBD yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android.

ARTIKEL YANG SAMA