Pemenang pidato akan berkunjung ke Jepun

Pemenang pidato akan berkunjung ke Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Pemenang Pertandingan Pidato Bahasa Jepun ke-29 yang diadakan di Universiti Brunei Darussalam (UBD), akan melawat Jepun pada 25 Oktober hingga 1 November ini atas pelawaan Persatuan Perusahaan Luar Negara Jepun (JOEA).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Chung Ming Hui, yang menyampaikan pidato bertajuk ‘Ketagihan Telefon Pintar’ semasa pertandingan itu, akan ke Jepun sebagai wakil Brunei Darussalam, dan semasa lawatan itu, beliau akan menunjukkan kepetahan pidato yang membawa kepada kemenangannya di hadapan para pemenang pertandingan seumpamanya dari negara-negara ASEAN lain.

Selain itu, beliau juga akan melawat tempat-tempat perindustrian, kebudayaan dan bersejarah serta melihat penduduk Jepun ketika tukaran kebudayaan ini.

Menurut kenyataan itu, penerbangan pergi balik ke Jepun ditaja oleh All Nippon Airways (ANA) dan Yayasan Jepun, manakala itu, JOEA akan menyediakan tempat penginapan dan kesemua kos lain yang berkaitan serta pengangkutan di Jepun. Tujuan utama jemputan ini adalah sebagai pertukaran kebudayaan, untuk mempertingkat lagi pemahaman bersama di antara Jepun dan negara-negara ASEAN.

Pemenang Pertandingan Pidato Bahasa Jepun, Chung Ming Hui.
Pemenang Pertandingan Pidato Bahasa Jepun, Chung Ming Hui.

Pertandingan Pidato Bahasa Jepun ke-29 yang diadakan di UBD pada 20 Ogos 2015 bertujuan menggalak peserta untuk memberikan demonstrasi umum mengenai kemahiran mereka dalam bahasa Jepun.

Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Permulaan, Lanjutan dan Terbuka.

Pada keseluruhannya, seramai 13 orang pelajar Bahasa Jepun mengambil bahagian dalam pertandingan pada tahun ini dan menyampaikan pidato mereka kepada penonton.

Para pengadil dan penonton berasa amat kagum dengan tahap kemahiran Bahasa Jepun yang tinggi, isi kandungan ucapan yang menarik, dan bakat penyampaian kesemua peserta yang mengambil bahagian.

Disebabkan sokongan daripada penyokong dan rakan usaha sama, acara tersebut telah mencatat kejayaan besar.

ARTIKEL YANG SAMA