Pemenang She Runs 2016 terima tiket RB

Pemenang She Runs 2016 terima tiket RB

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), hari ini telah menyerahkan tiket penerbangan kepada tiga pelari teratas bagi Kategori 3.7 km dan 5 km acara She Runs 2016 baru-baru ini.

Penyerahan tiket tersebut berlangsung di Fitness Zone, Kiulap dan disampaikan oleh Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun dan disaksikan oleh Ketua Komunikasi Korporat RB, Dayang Azhani binti Abu Daniel.

Bagi Kategori 3.7 km, juaranya, Jenny Tan telah menerima tiket pergi balik ke Vietnam; tempat kedua, Dayang Syamsiah binti Bujang@Matsaid memenangi tiket pergi balik ke Kuala Lumpur; dan tempat ketiga, Mei Ting pula telah menerima tiket pergi balik ke Kota Kinabalu.

Manakala bagi Kategori 5 km, juaranya Yenny Muslim, telah memenangi tiket pergi balik ke Bali; tempat kedua, Dayang Marnie Farizan binti Ahmad juga selaku Duta Tri-Ultra, telah memenangi tiket pergi balik ke Manila; dan pemenang tempat ketiga, Claire pula telah menerima tiket pergi balik ke Kota Kinabalu.

Wu Chun dan Dayang Azhani (empat dari kanan) bergambar ramai bersama para pemenang yang menerima tiket penerbangan daripada RB.
Wu Chun dan Dayang Azhani (empat dari kanan) bergambar ramai bersama para pemenang yang menerima tiket penerbangan daripada RB.

Wu Chun, yang juga selaku Duta RB berkata, beliau bersyukur kerana mempunyai sokongan padu RB dalam segala usaha terutama pada acara-acara amal anjuran Fitness Zone.

“RB sentiasa berminat untuk menyokong komuniti tempatan,” katanya.

Manakala Dayang Azhani dalam ucapannya pula berkata, menyokong masyarakat melalui pemberian sentiasa menjadi asas kepada perniagaan RB. Ini adalah tahun kedua RB dengan menyokong acara amal She Runs, satu larian amal semua wanita untuk mengumpul dana bagi Yayasan Kanser Kanak-kanak Brunei (YASKA) dan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD).

ARTIKEL YANG SAMA