Pementasan kecil ‘Negeri Kelabu’ angkat kreativiti anak tempatan

Pementasan kecil ‘Negeri Kelabu’ angkat kreativiti anak tempatan

Oleh Lenna N.B.

 

SEBUAH kisah bermula dari dunia fantasi yang mengisahkan mengenai seekor burung pipit melarikan diri dari kurungan Raja Moon Priestess, untuk mencari kebebasan. Pipit tersebut kemudiannya berubah menjadi manusia setelah bertemu dengan ahli sihir yang mendorongnya untuk mencari harta miliknya yang dirampas. Pipit terbang kembali ke Negeri Kelabu dan bertemu dengan sahabatnya, seekor ikan duyung bernama Alberta.

Justeru, itu yang menjadi intipati kisah dalam pementasan kecil ‘Kelabuland’ yang telah dipersembahkan di Creative Space Art Gallery yang terletak di sekitar Kompleks Membeli-belah Sengkurong berhadapan dengan Pasaraya SKH, baru-baru ini.

Creative Space Art Gallery merupakan sebuah ruang seni yang digunakan untuk pameran-pameran seni lukis karya artis-artis tanahair.

Namun kali ini, galeri tersebut menjadi ruang pentas yang menampilkan karya Awang Abdul Khabir Zainidi, 30, seorang karyawan tanahair yang mengetengahkan gaya surealisme dalam karya-karyanya iaitu menggabungkan unsur kejutan, kabur, dan luar biasa.

Di sebalik tabir pementasan

Menurut Awang Zainidi, pementasan Kelabuland mengambil masa selama dua minggu yang disertai oleh sukarelawan-sukarelawan belia yang memang mempunyai latar dan minat terhadap seni pentas.

 Keseluruhan pemain-pemain watak pementasan Kelabuland.
Keseluruhan pemain-pemain watak pementasan Kelabuland.
Moon Priestess merancang niat jahatnya bersama cermin.
Moon Priestess merancang niat jahatnya bersama cermin.
Alberta menolong Pipit dengan memberikan air mata sucinya.
Alberta menolong Pipit dengan memberikan air mata sucinya.

Keseluruhannya melibatkan enam watak yang merangkumi Raja Moon Priestess, Pipit, Cermin, Wonkai, Alberta dan ahli sihir. Props-props pementasan juga dicipta oleh Awang Zainidi sendiri menunjukkan seni kreatif DIY yang mampu memeriahkan persembahan.

Antara cabaran yang dihadapi oleh beliau adalah apabila ada beberapa pelakon yang menarik diri kerana komitmen kerja, sehingga menyebabkan beliau terpaksa mencari pelakon lain yang sanggup beraksi di atas pentas secara sukarela.

Awang Zainidi juga turut turun beraksi bersama para pelakon walaupun pada mulanya hanya ingin terlibat dalam bidang pengarahan sahaja.

“Persembahan mesti diteruskan dan jangan berputus asa. Itu prinsip saya sama ada pementasan dalam bentuk skala kecil ataupun besar. Idea jalan cerita pementasan ini pun diilhamkan daripada keadaan sekitar saya, terutamanya setelah saya kembali dari Busan, menyertai ASEAN Film Academy yang berlangsung sepanjang 18 hari,” jelas Awang Zainidi.

Creative Space Art Gallery yang menjadi lokasi pilihan terhadap ruang pementasan karya Kelabuland ini pula adalah berikutan daripada mengambil kira kepada suasana galeri yang menjadi ruang untuk mempamerkan karya-karya seni lukis.

Galeri tersebut umpama suara kepada artis-artis tanahair dan ia secara langsung mempunyai hubung kait dengan naskhahnya Kelabuland yang sebenarnya membicarakan mengenai perihal memperjuangkan seni.

“Saya akui, ruangnya agak kecil untuk mengadakan sebuah pementasan tetapi saiz tidak penting. Yang penting adalah karya saya dapat disampaikan walaupun melalui jumlah audien yang sangat terhad. Saya gembira dan bangga kerana pelakon-pelakon saya berjaya menghayati watak mereka dan menzahirkan dunia Kelabuland di ruang seni ini,” tambahnya.

Pementasan dunia fantasi Kelabuland

Pementasan Kelabuland bermula tepat pada jam 8 malam, dengan jumlah kehadiran lebih kurang daripada 10 orang penonton. Banyak mesej-mesej tersembunyi yang diketengahkan oleh Awang Zainidi di sebalik karyanya, antaranya adalah seni yang mati dan dibatasi di Negeri Kelabu, watak iblis bertopengkan manusia menghasut golongan yang berjiwa suci untuk melakukan kejahatan di muka bumi, persahabatan yang telah dihancurkan, ketamakan manusia dan sebagainya. Semuanya dibicarakan dalam pementasan naskhah Kelabuland yang menggambarkan mengenai pemerhatian Awang Zainidi di sekitar masyarakatnya.

Ikan duyung, Alberta antara watak yang menarik dipaparkan dalam naskhah Kelabuland.
Ikan duyung, Alberta antara watak yang menarik dipaparkan dalam naskhah Kelabuland.

Ahli sihir yang muncul sekali-sekala menjadi penghasut kejahatan kepada Pipit.
Ahli sihir yang muncul sekali-sekala menjadi penghasut kejahatan kepada Pipit.

Walaupun watak-watak yang ditimbulkan adalah agak ganjil namun di penghujung cerita, dunia realiti seakan terungkai apabila setiap watak-watak yang berada di Negeri Kelabuland adalah watak-watak manusia yang mengalami masalah mental.

Mereka adalah pesakit-pesakit yang setiap minggu dirawat oleh doktor dari segi perkembangan minda mereka. Justeru itu, mereka dibenarkan untuk berimaginasi dan berhalusinasi mengikut kemahuan mereka.

Namun, di sebalik imaginasi itu, ternyata mereka mencerminkan semula kehidupan masyarakat di dunia realiti yang mempunyai pelbagai ragam dan naik-turun kehidupan. Ini bererti, orang yang gila tidak sepenuhnya tidak berakal atau berfikir kerana dalam halusinasi, mereka sebenarnya mengetengahkan apa yang tidak sepatutnya terjadi secara realiti. Mereka adalah seakan-akan suara halus yang memperjuangkan kebenaran.

“Dalam karya berunsurkan surrealisme, saya suka penonton melakukan interpretasi mereka sendiri bagi memahami erti di sebalik naskhah saya. Memang mesej utamanya adalah berkaitan dengan perjuangan seni dan semua watak-watak yang ditampilkan ini juga boleh diinterpretasikan sebagai sebuah seni yang bernilai untuk disampaikan berdasarkan kepada pemerhatian dalam kehidupan,” jelas Awang Zainidi.

Pementasan Kelabuland mengambil masa kira-kira 20 ke 30 minit. Jika dilihat secara biasa, memang agak sukar untuk memahami maksud di sebalik karya Awang Zainidi tersebut. Namun, ia hanya dapat dirungkai melalui pemikiran yang dalam memahami peranan-peranan watak, jalan cerita serta dialog-dialog mereka yang masing-masing mempunyai amanat tertentu.

Pengalaman bersama Awang Zainidi

Menyentuh mengenai latar pendidikan, Awang Zainidi pernah mengikuti pengajian seni di Paris di mana beliau terdedah dalam dunia seni lakonan sama ada dalam pementasan atau filem.

Beliau juga pernah menghasilkan beberapa buah filem pendek dan terpilih dalam festival filem luar negara. Nama beliau mungkin tidak dikenali tetapi sumbangan beliau banyak adalah tambahan lagi, kegiatan seninya dilakukan secara sukarela, dengan perbelanjaan sendiri.

Awang Hilman Omar, pemegang watak Pipit berbicara mengenai pengalamannya bekerjasama dengan Awang Zainidi
Awang Hilman Omar, pemegang watak Pipit berbicara mengenai pengalamannya bekerjasama dengan Awang Zainidi

Media Permata sempat menemuramah beberapa orang pelakon Kelabuland yang mengongsikan mengenai pelbagai pengalaman ketika bekerjasama dengan Awang Zainidi.

“Saya hormati dia (Zainidi) sebagai artis, dan banyak yang telah saya pelajari daripada beliau. Pada awalnya, saya memang ragu hendak meneruskan untuk menjayakan pementasan ini. Tambahan lagi mempunyai komitmen lain. Namun, melihat semangat Awang Zainidi yang kental, dan tidak pernah berputus asa, saya akhirnya tetap meneruskan. Apatah lagi, saya memang meminati bidang pementasan, dan saya memang pernah berlakon sebelum ini semasa mengikuti pengajian saya di universiti. Atas dasar itu, saya tetap berada di sini bersama Awang Zainidi, beraksi dalam pementasan kecil ini,” terang Awang Hilman Omar yang memegang watak sebagai Pipit.

“Sama seperti Awang Hilman, saya juga pernah berlakon ketika masih mengikuti pengajian di universiti, jadi penglibatan dalam pementasan Awang Zainidi ini adalah suatu penerokaan pengalaman bagi saya. Secara langsung, melalui watak Wonkai, saya menjadi seorang pejuang seni yang kehilangan matanya kerana dikhianati oleh rakan sendiri. Perjuangan saya akhirnya tidak mendatangkan apa-apa dan saya pula menjadi buta melihat keindahan. Ini adalah interpretasi saya dalam menghayati watak ini, namun maksud sebenar, hanya Awang Zainidi yang tahu,” ucap Awang Zulfadhli Abdul Rahman, pemain watak Wonkai, pejuang seni di Kelabuland.

Pementasan yang ringkas, namun mempunyai mesej dan cerita yang mendalam, memang menarik untuk dipersembahkan dalam skala besar. Apatah lagi, setiap watak mempunyai cerita yang berbeza dan mempunyai misteri-misteri yang tertentu.

“InsyaAllah, memang saya ada cita-cita untuk membawa naskhah saya ini dalam pementasan yang lebih besar. InsyaAllah ada rezeki, di situ ada jalan. Asal ada ruang, saya akan dapat terus berkarya,” ujar Awang Zainidi di hujung temuramah.