Pementasan te...

Pementasan teater perkembangkan keyakinan diri pelajar

Oleh Lenna N.B.

 

SEORANG pemuda masuk ke hutan tebal, habitat kepada seekor haiwan buas yang menakutkan. Walaupun mendengar cerita dari orang-orang kampung bahawa tidak pernah seorang pun yang berjaya pulang setelah menemui haiwan buas itu, pemuda tersebut tetap memberanikan diri demi mencapai hasratnya untuk mengahwini puteri raja. Atas menurut titah Raja Kerajaan Burgundy, tiga helai rambut emas akan pasti diperolehinya.

“Kira-kira seramai 40 orang pelajar dan lima orang guru terlibat dalam kerja-kerja di sebalik tabir persembahan teater ‘The Three Golden Hairs’ ini yang terdiri daripada ahli-ahli Kelab Teater PTES dan para sukarelawan yang juga merupakan pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES). Kejayaan persembahan teater ini adalah sebagai platform untuk memperkembangkan keyakinan diri pelajar, membentuk pergaulan yang sihat serta pemikiran yang positif,” ucap Guru Penyelia yang mengetuai Kelab Teater PTES, Dayangku Nur Sajidah Rohani binti Pengiran Haji Roslan.

Penubuhan Kelab Teater PTES

Kelab Teater PTES atau dalam bahasa Inggerisnya, PTES Theatre Club, sebelum ini dikenali sebagai ‘English Drama Club’ ditubuhkan pada tahun 2014.

Pada mulanya, penubuhan kelab itu adalah bertujuan untuk memperkembangkan kemahiran pelajar-pelajar dalam menggunakan Bahasa Inggeris, memandangkan ia ditubuhkan oleh seorang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris, Dayang Roziana binti Haji Juned.

Keseluruhan pelajar dan guru yang terlibat di sebalik tabir kejayaan persembahan teater ‘The Three Golden Hairs’.
Keseluruhan pelajar dan guru yang terlibat di sebalik tabir kejayaan persembahan teater ‘The Three Golden Hairs’.
Pada penghujung persembahan apabila setiap karakter memperkenalkan peranan mereka.
Pada penghujung persembahan apabila setiap karakter memperkenalkan peranan mereka.
Puteri Aria, anak gadis Raja George Kerajaan Burgundy, yang tersekat dalam istana tidak sabar untuk menerokai dunia luar dan bertemu penghuni-penghuni di luar istana.
Puteri Aria, anak gadis Raja George Kerajaan Burgundy, yang tersekat dalam istana tidak sabar untuk menerokai dunia luar dan bertemu penghuni-penghuni di luar istana.

Melihat kepentingan terhadap kelab ini dalam seni persembahan pentas, namanya kemudian ditukar menjadi Kelab Teater PTES, agar ia tidak terhad dalam penggunaan Bahasa Inggeris sahaja tetapi juga penggunaan Bahasa Melayu.

Ahli-ahli kelab ini adalah terdiri daripada pelajar-pelajar PTES yang berminat dalam bidang persembahan pentas dan juga seni teater.

Sejak penubuhannya, kelab ini telah berjaya mementaskan tiga buah teater Inggeris berjudul ‘Hansel & Gretel’, ‘Becoming’ dan yang terbaru, ‘The Three Golden Hairs’.

“Antara tujuan utama kelab ini ditubuhkan adalah untuk membentuk suasana pembelajaran yang lebih seronok daripada sekadar duduk di dalam kelas. Dengan itu, mereka lebih bersemangat untuk belajar, tidak tertekan, dan bergembira,” jelas Dayangku Nur Sajidah Rohani.

Adaptasi cerita dongeng Jerman

Teater ‘Tiga Helai Rambut Emas’ atau dalam Bahasa Inggerisnya, ‘The Three Golden Hair’ adalah adaptasi daripada sebuah cerita dongeng Jerman yang dikumpul oleh Brothers Grimm, iaitu adik-beradik Grimm yang merupakan ahli akademi, filologi, pengkaji budaya dan penulis yang sama-sama mengusahakan, mengumpul dan menerbitkan cerita-cerita rakyat sejak abad ke-19.

Mereka terkenal sebagai pencerita cerita-cerita dongeng fantasi seperti ‘Cinderella’, ‘The Frog Prince’, ‘The Goose Girl’, ‘Hansel and Gretel’, ‘Rupunzel’, ‘Sleeping Beauty’, ‘Snow White’ dan banyak lagi yang menyerikan kehidupan zaman kanak-kanak kita.

“The Three Golden Hair adalah antara cerita dongeng yang sangat popular di negara Barat dengan judulnya adalah ‘The Devil with the Three Golden Hair’.

Naskhah ini kemudian diadaptasikan ke bentuk teater dengan perubahan-perubahan dan penambahan-penambahan tertentu atas kerjasama saya dan pelajar-pelajar yang menjadikan persembahan teater ini lebih menarik dengan penampilan terbarunya.”

Tiga Helai Rambut Emas versi Kelab Teater PTES

Mengikut versi Kelab Teater PTES, persembahan teater ‘Tiga Helai Rambut Emas’ mengisahkan mengenai helah si tukang tilik yang telah menentukan nasib masa depan Kerajaan Burgundy.

Kisahnya bermula apabila pasangan suami isteri petani telah melahirkan seorang anak lelaki yang mempunyai tanda lahir di kepalanya.

Mengikut si Tukang Cerita, anak tersebut akan membawa kekayaan dan berita ini, turut disahkan kebenarannya oleh si tukang tilik yang terkenal di Kerajaan Burgundy, Sabine. Beliau menyatakan anaknya akan berkahwin dengan seorang gadis kaya pada usianya 19 tahun.

Ayah angkat William sanggup meninggalkan anaknya kerana sekantung emas daripada Raja.
Ayah angkat William sanggup meninggalkan anaknya kerana sekantung emas daripada Raja.
Raja George, Raja kerajaan Burgundy yang sombong.
Raja George, Raja kerajaan Burgundy yang sombong.
Awang Ahmad Fadhil, yang bukan sahaja berperanan sebagai narator, tetapi juga Penasihat Raja, Penjaga Istana, Pegawai Cukai, Si Tukang Kayuh dan sebagainya dalam teater ‘The Three Golden Hairs’.
Awang Ahmad Fadhil, yang bukan sahaja berperanan sebagai narator, tetapi juga Penasihat Raja, Penjaga Istana, Pegawai Cukai, Si Tukang Kayuh dan sebagainya dalam teater ‘The Three Golden Hairs’.

Berita itu tersebar di seluruh kampung dan rakyat, sehingga timbulnya khabar angin bahawa anak tersebut akan berkahwin dengan Puteri Raja, malah akan menggantikan takhta Kerajaan Burgundy. Raja George yang merupakan raja Kerajaan Burgundy pada masa itu murka setelah mendengar khabar angin tersebut dan mendapatkan pengesahan daripada Sabine, si Tukang Tilik.

Risau akan kuasanya dirampas, Raja menemui pasangan suami isteri petani, dengan membuat helah bahawa anak mereka akan dibesarkan di istana dan dijadikan putera raja.

Kemudian, Raja George mengarahkan penasihatnya untuk membunuh anak lelaki itu di dalam hutan, di tempat hidupnya seekor haiwan buas yang memakan manusia.

Namun, si penasihat tidak sampai hati, dan memasukkannya di dalam kotak terapung dibawa arus sungai.

Anak itu kemudian ditemui oleh pasangan suami isteri nelayan, dan mulalah dia dibesarkan dalam keluarga nelayan tersebut yang kebetulan tidak mempunyai anak, dinamakan sebagai William.

Setelah 20 tahun berlalu, Raja ketika sedang merantau ke hutan mencari tiga helai rambut emas seekor haiwan buas, tiba-tiba menemui sebuah pondok tempat tinggalnya keluarga nelayan.

Kelihatan seorang anak muda yang bertanda kepalanya, tanda lahir yang pernah dilihatnya 20 tahun yang lalu.

Melihat pemuda itu, Raja menyiasat latarnya yang ditemui di dalam kotak di tepi sungai. Tahulah raja bahawa penasihatnya tidak membunuh anak kecil yang bertanda lahir kepalanya suatu ketika dahulu.

Risau anak muda itu akan membawa ancaman kepada takhta yang dibanggakannya selama ini, raja mengarahkannya menghantar surat ke istana yang didalamnya mengandungi perintah raja.

Suatu perintah menyatakan pemuda itu adalah penjenayah dan hendaklah dia dibunuh segera. Pemuda yang tidak tahu isi kandungan surat itu, hanya menuruti perintah raja.

Dalam pertangahan perjalanan, William tertidur dan ditemui oleh sekumpulan orang kampung. Mereka menemui surat yang mengandungi cop raja, lalu membukanya. Atas sebab tidak sanggup menyaksikan kekejaman Raja George yang telah banyak mendatangkan kesusahan kepada rakyatnya, mereka menukar isi kandungan surat itu tanpa William sedari, yang meminta penjaga istana untuk mengahwini William dengan puteri Aria, anak gadis Raja George.

Acara perkahwinan antara William dan Puteri Raja George pun diadakan dengan penuh gemilang namun sempat dihalang oleh Raja sebaik sahaja pulang di istana. Raja kemudian bertitah hanya menerima William sebagai suami kepada puterinya, jika dia mendapat tiga helai rambut emas daripada seekor haiwan buas di hutan.

William yang sudah jatuh cinta dengna puteri raja sanggup meredah hutan sehingga bertemu dengan nenek si haiwan buas. Atas bantuan nenek itu, tiga helai rambut emas dapat diperolehi dan William akhirnya berkahwin dengan Puteri Raja.

Menariknya, di penghujung persembahan, diperlihatkan rambut emas itu dikembalikan oleh penasihat raja kepada Sabine, si tukang tilik, yang juga merupakan nenek kepada haiwan buas di dalam hutan.

Dayang Nurhanna memegang watak Sabine, si tukang tilik yang melakukan aksi tiliknya di hadapan Raja George.
Dayang Nurhanna memegang watak Sabine, si tukang tilik yang melakukan aksi tiliknya di hadapan Raja George.
Dayang Nurul Faizeemah Shafiqah, pemegang watak Puteri Aria.
Dayang Nurul Faizeemah Shafiqah, pemegang watak Puteri Aria.
Awang Muhammad Arif, pemegang watak William yang ingin menerokai pelbagai bidang dalam seni persembahan.
Awang Muhammad Arif, pemegang watak William yang ingin menerokai pelbagai bidang dalam seni persembahan.

Lazimnya, dalam sebuah cerita dongeng fantasi atau cerita rakyat, rajalah paling berkuasa, namun dalam ‘The Three Golden Hairs’ versi Kelab Teater PTES ini, si Tukang Tilik dan Penasihat Raja nampaknya telah bekerjasama menentukan masa depan Kerajaan Burgundy.

“Sabine, seorang yang sombong dan bangga dengan kepintarannya. Dia bijak menipu orang walau dengan raja sekalipun. Walaupun agak sukar memahami wataknya, saya banyak meluangkan waktu membaca buku, Youtube dan pelbagai rujukan untuk menghayati watak wanita jahat disamping mendapat khidmat nasihat daripada guru saya. Memang seronok terlibat sama menjayakan persembahan teater ini,” jelas Dayang Nurhanna binti Haji Mohammad Amin, 18, pelajar PTES yang memegang watak si tukang tilik dan juga nenek kepada haiwan ganas.

Sebalik tabir persembahan

Kira-kira sejumlah 700 penonton hadir sejak kali pertama ‘The Three Golden Hairs’ dipersembahkan pada 10 Februari dan persembahan terakhirnya, pada 12 Februari 2017, di bilik Teater Multimedia Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

Bagi para pelajar yang terlibat, melalui Kelab Teater PTES inilah mereka memperkembangkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kerjasama dalam sesebuah kumpulan.

“Saya suka apa sahaja yang berkaitan dengan persembahan pentas kerana kita berinteraksi secara langsung dengan khalayak, di samping itu saya juga belajar dari segi melontarkan suara, ekspresi wajah, dan membentuk silaturahim dengan rakan-rakan seperjuangan,” ucap Dayang Nurul Faizeemah Shafiqah binti Abdullah Faizal, 17, pemegang watak Puteri Aria, anak raja George, Kerajaan Burgundy.

Bagi Awang Ahmad Fadhil bin Haji Matzin, 18 (selaku pemegang watak penasihat raja dan si tukang cerita) dan Awang Muhammad Arif bin Asri, 18 (selaku pemegang watak William) pula, penglibatan mereka dalam Kelab Teater PTES ini adalah untuk merealisasikan minat mereka di bidang seni persembahan di samping menerokai pelbagai bidang selain nyanyian, koir dan tarian, Kelab Teater PTES memberi ruang menerokai pelbagai watak yang mempunyai penghayatan berbeza.

“Pada pendapat saya, perkembangan teater di Brunei sedang maju, dengan komuniti penghayatnya yang kian bertambah. InsyaAllah kami sentiasa memberikan sokongan dan pada masa yang sama, Kelab Teater PTES juga akan terus beraksi di atas pentas dengan bakat-bakat anak muda yang tidak sabar-sabar untuk diasah. Terima kasih kepada ahli-ahli kelab, para sukarelawan dan guru-guru yang terlibat. Tanpa mereka, persembahan The Three Golden Hairs tidak akan berjaya,” ujar Dayangku Nur Sajidah Rohani yang juga merupakan seorang guru Inggeris di PTES.