Pemeriksaan awal mampu selamatkan nyawa wanita

Pemeriksaan awal mampu selamatkan nyawa wanita

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Mei – Pengesanan awal menggunakan teknik betul dengan tangan sendiri setiap bulan boleh menyelamatkan nyawa wanita daripada kanser payudara.

Ini adalah antara yang ditekankan oleh Pegawai Perubatan dari Pusat Promosi Kesihatan, Hajah Norol-Ehsan binti Haji Abdul Hamid semasa menyampaikan ceramah ‘Kanser Payudara dan Pencegahan’ pada Program Kesedaran Kanser Payudara yang berlangsung di Sekolah Ugama Sungai Taring Lumut, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kanser payudara adalah jenis kanser yang paling biasa berlaku dalam kalangan wanita di negara ini, oleh itu, meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara dalam kalangan wanita, khususnya, adalah salah satu langkah yang penting dalam pencegahan kanser payudara.

Dalam ceramahnya itu, Hajah Norol-Ehsan antara lain turut menjelaskan mengenai faktor-faktor risiko, tanda dan gejala kanser payudara, mitos dan salah tanggapan mengenai kanser payudara dan cara-cara untuk mencegahnya.

Hajah Norol-Ehsan menyampaikan ceramah kesihatan semasa Program Kesedaran Kanser Payudara di Sekolah Ugama Sungai Taring Lumut, kelmarin.
Hajah Norol-Ehsan menyampaikan ceramah kesihatan semasa Program Kesedaran Kanser Payudara di Sekolah Ugama Sungai Taring Lumut, kelmarin.
Antara guru-guru wanita yang menghadiri Program Kesedaran Kanser Payudara berkenaan, kelmarin
Antara guru-guru wanita yang menghadiri Program Kesedaran Kanser Payudara berkenaan, kelmarin

Program anjuran Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pusat Kanser Brunei itu dihadiri oleh 30 guru wanita dari Jabatan Pengajian Islam.

Selain ceramah kesihatan, program tersebut turut diisi dengan demonstrasi dan pemeriksaan menggunakan model payudara.

Sebagai salah satu cara untuk memerangi Penyakit Tidak Berjangkit, khususnya kanser, program ini telah dilaksanakan sejak November tahun lalu di beberapa kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan serta institusi pendidikan tinggi di negara ini dan ia akan terus diadakan mengikut jadual di kementerian dan jabatan yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA