Pemeriksaan bot ikan, persiaran di Temburong pada 7-10 Sept ini

Pemeriksaan bot ikan, persiaran di Temburong pada 7-10 Sept ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Jabatan Laut, Kementerian Perhubungan memaklumkan bahawa pemeriksaan berjadual bot ikan dan perahu persiaran bagi Daerah Temburong akan diadakan pada 7 hingga 10 September ini.

Sehubungan itu, penduduk Daerah Temburong yang memiliki bot ikan dan persiaran yang berdaftar di Jabatan Laut dan belum lagi membuat pemeriksaan teknikal hendaklah berbuat demikian pada hari-hari berkenaan dari jam 8:30 pagi hingga 12:00 tengah hari dan 1:30 hingga ke 3:00 petang.

Menurut kenyataan Jabatan Laut, hari ini, pemeriksaan itu akan diadakan di jeti dan kawasan berhampiran Pejabat Daerah Temburong.

Jabatan juga memaklumkan kepada semua pemilik bot dan perahu bahawa sebelum Bahagian Ukur Kapal, Jabatan Laut membuat pemeriksaan, mereka hendaklah memastikan alat-alat keselamatan di atas perahu/kapal lengkap dan sebahagian daripada alat-alat keselamatan termasuk boya keselamatan, jaket keselamatan, lampu tumpu atau lampu suluh, pemadam api jenis serbuk kering dan pengayuh mestilah ditanda dengan nombor pendaftaran perahu.

Selain itu, kapal dan nombor pendaftaran mestilah diletak/dicat pada haluan depan (carok) perahu/kapal kiri dan kanan seperti Peraturan 8 dan Peraturan 9 dalam buku panduan ‘Merchant Shipping (Registration of Fishing Vessels and Pleasure Craft) Regulations, 2011’.

Para pemilik juga diingatkan bahawa, nombor pendaftaran mestilah dilekat atau dicat dengan teliti dan dapat dilihat dengan terang dan jelas, selain itu, spesifikasi latar belakang penomboran mestilah berwarna hitam, abjad dan nombor pula berwarna putih dan mengikut ukuran panjang kapal yang ditetapkan.

ARTIKEL YANG SAMA