Pemeriksaan ketat elakkan jangkitan penyakit tanaman

SANDAKAN, 13 Sept – Pemeriksaan ketat di semua pintu masuk dan kiriman kurier di negeri ini membolehkan tanaman pertanian di Sabah bebas daripada jangkitan penyakit dan perosak.

Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Idrus Shafie berkata ada individu cuba membawa masuk bahan berkaitan tanaman ke negeri ini menerusi lapangan terbang dan ada juga cubaan menyeludup menggunakan kiriman perkhidmatan kurier.

“Pemeriksaan ketat di lapangan terbang menyebabkan cubaan menyeludup bahan berkaitan tanaman beralih menggunakan kiriman perkhidmatan kurier.

“Kira-kira 80 peratus penyeludupan bahan tanaman ke negeri ini dikesan menerusi kiriman kurier,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Seminar Amalan Pertanian Baik yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Zakaria Mohd Edris.

Menurutnya tindakan mengawal jangkitan penyakit dan perosak itu penting agar tidak menjejaskan pengeluaran hasil tanaman makanan di negeri ini untuk keperluan penduduk dan untuk tujuan eksport.

Katanya jabatan itu menumpukan kepada tanaman makanan bagi menampung keperluan sumber makanan bukan sahaja untuk penduduk di negeri ini yang populasinya berjumlah 3.3 juta orang malah untuk pelancong.

Menurutnya pihaknya mengambil tindakan jangka panjang dalam memastikan pengeluaran tanaman makanan tidak berkurangan berikutan kehadiran pelancong luar negara ke negeri ini yang meningkat setiap tahun.

Idrus berkata cabaran lain adalah menggalakkan tanaman berasas maka nan di negeri ini sejajar dengan hala tuju kerajaan negeri Sabah dalam meningkatkan sumber makanan.

Ini kerana, katanya, pada masa sekarang 95 peratus tanaman pertanian di negeri ini adalah berasaskan komoditi yang membabitkan tanaman kelapa sawit. – Bernama