Pemerintah TDDB sertai persidangan panglima-panglima di Indonesia

Pemerintah TDDB sertai persidangan panglima-panglima di Indonesia

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, kini berada di Republik Indonesia bagi menghadiri Persidangan Panglima-panglima Tentera Darat Rantau Pasifik ke-9 (PACC IX) dan Seminar Pengurusan Angkatan-angkatan Tentera Pasifik ke-39 (PAMS XXXIX) yang diadakan di Denpasar, Bali.

Pembukaan PACC IX telah dirasmikan oleh tuan rumah bersama Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (KASAD), Jeneral Mulyono dan Ketua Turus Tentera Darat Amerika Syarikat, Jeneral Mark Milley pada 14 September 2015.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya hari ini berkata, persidangan itu dihadiri oleh 26 panglima tentera di rantau Asia Pasifik, manakala itu, seminar PAMS XXXIX telah dihadiri oleh 65 pegawai kanan terdiri daripada leftenan kolonel hingga mejar jeneral dari 27 negara di rantau Asia Pasifik.

Mewakili Negara Brunei Darussalam di seminar PAMS XXXIX ini ialah Ketua Staff TDDB, Kolonel Khairul Hamed bin Haji Lampoh.

Pemerintah TDDB bergambar ramai bersama panglima-panglima tentera darat rantau Asia Pasifik yang menyertai persidangan tersebut.
Pemerintah TDDB bergambar ramai bersama panglima-panglima tentera darat rantau Asia Pasifik yang menyertai persidangan tersebut.

Semasa persidangan PACC IX, Pemerintah TDDB telah menyampaikan taklimat mengenai ‘Sumbangan Tentera kepada Kerjasama Pelbagai Hala Serantau – Mengukuhkan Kerjasama Serantau.

Di samping itu, beliau juga berkesempatan untuk mengadakan perjumpaan dua hala dan berbagai hala dengan beberapa panglima-panglima tentera darat negara-negara ahli Tentera Darat Pasifik.

Persidangan PACC IX berakhir hari ini sementara seminar PAMS XXXIX akan berakhir esok.

Dengan tema ‘Sumbangan Tentera Kepada Kerjasama Pelbagai Hala Serantau’, persidangan dan seminar berkenaan bertujuan untuk mencari perspektif, pendekatan baru dan persefahaman serta objektif yang sama bagi tentera darat di rantau Pasifik untuk beroperasi dengan lebih baik dan juga memberikan peluang membincangkan isu semasa yang melibatkan kepentingan pertahanan.

ARTIKEL YANG SAMA