Pemidato Bahasa Jepun negara terima jemputan

Pemidato Bahasa Jepun negara terima jemputan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Pemenang peraduan Pidato Bahasa Jepun ke-30 akan melawat Jepun atas jemputan Persatuan Pengusaha Luar Negara Jepun (JOEA).

Dayangku Zayaputeri binti Pengiran Haji Mohd Yamin, yang memenangi peraduan dalam Peringkat Lanjutan dengan tajuk Don’t Cry akan mewakili Brunei dan menunjukkan pidato kemenangannya kepada wakil-wakil ASEAN yang lain ketika lawatannya di Jepun pada 23 hingga 30 Oktober ini.

Beliau juga akan melawat tempat-tempat perindustrian, kebudayaan dan bersejarah, serta akan membiasakan diri dengan adat resam Jepun ketika program pertukaran kebudayaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun di sini, jemputan pertukaran kebudayaan itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan persefahaman antara Jepun dan negara-negara ASEAN.

Seramai 10 orang pelajar Bahasa Jepun menyertai peraduan tersebut yang berlangsung di IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal pada 27 Ogos lalu yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Permulaan dan Kategori Lanjutan.

Matlamatnya adalah untuk menggalakkan para peserta untuk menunjukkan kecekapan mereka dalam Bahasa Jepun di khalayak ramai.

ARTIKEL YANG SAMA