Pemilihan awa...

Pemilihan awal musabaqah bermula

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Pemilihan awal Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/ 2017M telah bermula hari ini di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) di mana ia akan berlangsung sehingga 18 Februari.

Hari ini, seramai 57 orang peserta bagi Kategori ‘A’ telah memperdengarkan bacaan masing-masing untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Pertandingan berkenaan merupakan projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam dan merupakan pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan setiap tahun.

Ia dibahagikan kepada lima kategori iaitu Kategori ‘A’ Menghafaz Surah-Surah Pilihan dari Juz 30 iaitu Surah Al-Buruuj, Surah AthThariq, Surah Al-A’laa, Surah Al-Ghasyiyah, Surah Al-Balad, Surah Asy-Syams, Surah Al-Lail, kompilasi surah-surah lazim bermula dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas berserta Pemahaman Surah Al- Ghasyiyah, Surah Al-Fajr, Surah Adh-Dhuha dan Surah Al-Qadr.

Kategori ini dibukakan kepada peserta berumur 11 tahun ke bawah yang lahir pada 1 Jun 2015 dan selepasnya serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ‘A’ dua kali berturut-turut.

Salah seorang peserta Kategori ‘A’ yang menyertai musabaqah pagi kelmarin.
Salah seorang peserta Kategori ‘A’ yang menyertai musabaqah pagi kelmarin.

Kategori ‘B’ pula, peserta-peserta dikehendaki menghafaz Surah-surah Pilihan iaitu Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Ar-Rahman, Surah Al-Waqi’ah, Surah Al-Mulk dan Surah Al-Insan berserta Pemahaman Surah Al-Jumu’ah, Surah Al-Munafiquun dan Surah At-Talak.

Kategori ini terbuka kepada murid-murid berumur 17 tahun ke bawah yang lahir pada 1 Jun 1999 dan selepasnya, tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ’B’ dua kali berturut-turut serta bukan terdiri daripada penuntut Institut Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara.

Manakala itu, Kategori ‘C’ yang terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 10, 20 dan 30 Juz sejak tahun 2010 serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ‘C’ sebanyak dua kali berturut-turut pula menghafaz tiga Juz Al-Quran dari Juz 1 hingga Juz 3 berserta Pemahaman Juz 1.

Kategori ‘D’ menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 15 berserta Pemahaman Juz 11. Ia terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ‘D’ dua kali berturut-turut serta tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 30 juz.

Manakala itu, Kategori ‘E’, menghafaz 30 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 30 berserta Pemahaman Juz 22, dibukakan kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menjadi johan tiga tahun berturut-turut dalam kategori ini serta hanya boleh menyertai musabaqah semula iaitu selepas dua tahun kemudian musabaqah diadakan.

Pada tahun ini, seramai 57 orang peserta Kategori A, 42 peserta Kategori B, 80 daripada Kategori C, 37 orang daripada Kategori D dan 12 orang dalam Kategori E akan bertanding bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke peringkat akhir kebangsaan yang akan datang.

Musabaqah ini bertujuan untuk melahirkan para huffaz yang mahir dalam bidang Al-Quran serta menuju penghayatan Al-Quran yang sebenar dengan memahami isi dan tafsiran yang terkandung di dalamnya di samping bagi mendukung hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.