Pemilihan bakal Pegawai Kadet bermula

Pemilihan bakal Pegawai Kadet bermula

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Seramai 82 calon mula menjalani proses pemilihan Lembaga Penauliahan Angkatan Tentera (AFCB) untuk dipilih sebagai bakal Pegawai Kadet bagi Sekolah Pegawai Kadet (OCS), Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Proses yang bermula kelmarin hingga 27 November itu buat pertama kalinya diadakan di Akademi Pertahanan baru yang serba canggih di Tanah Jambu.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan hari ini, proses AFCB merangkumi penilaian-penilaian temu duga, pembentangan berseorangan, perbincangan berkumpulan, orienteering, tugas kepimpinan dan kecergasan fizikal.

Persaingan dalam kalangan calon sangat tinggi, dengan setiap individu perlu membuktikan potensi mereka untuk mendapatkan peluang menjadi seorang pegawai di ABDB.

Komandan Akademi Pertahanan, Leftenan Kolonel Saiful Akhmar bin Haji Mohd Shariff semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis pembukaannya semalam, menekankan bahawa dalam generasi Y pada masa ini, kita berdepan dengan cabaran mengetahui dan memahami teknologi canggih, namun masih menjadi tentera barisan depan.

Antara mereka yang hadir pada majlis pemilihan calon Pegawai Kadet.
Antara mereka yang hadir pada majlis pemilihan calon Pegawai Kadet.
Leftenan Kolonel Saiful Akhmar ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Leftenan Kolonel Saiful Akhmar ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Antara calon-calon yang akan menjalani proses pemilihan Lembaga Penauliahan Angkatan Tentera (AFCB) untuk dipilih sebagai bakal Pegawai Kadet bagi Sekolah Pegawai Kadet (OCS).
Antara calon-calon yang akan menjalani proses pemilihan Lembaga Penauliahan Angkatan Tentera (AFCB) untuk dipilih sebagai bakal Pegawai Kadet bagi Sekolah Pegawai Kadet (OCS).

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mengenai tekanan mental dan fizikal dalam AFCB dan tugas sebagai seorang pegawai ABDB, di mana standard tertinggi dijangkakan pada setiap masa.

Di samping semua ini, kerjaya sebagai ABDB tidak hanya menyemai nilai-nilai tentera malah ia menanamkan nilai Islam dalam kalangan pemimpin tentera masa depan selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja.

Daripada perspektif Islam, tambah beliau, menjadi seorang anggota tentera merupakan pekerjaan yang mulia dan ia turut memberikan pengalaman hidup yang sangat bermakna.

OCS juga memberikan peluang kepada setiap calon yang hadir hari ini untuk berkhidmat dengan cara yang unik di sektor kerajaan.

Pemangku Pegawai Pemerintah OCS, Mejar Christiaan James Stoffberg, semasa ditemui pihak media memberitahu, majlis pembukaan rasmi kelmarin bertujuan untuk memberikan pemahaman lebih mendalam kepada calon-calon mengenai proses-proses yang akan dijalankan semasa tempoh penilaian bersama dengan pegawai-pegawai yang berkaitan.

Di samping itu juga, ia memberikan peluang untuk mereka mengenalkan diri kepada para pegawai dan calon-calon yang lain.

Selepas menamatkan penilaian ini, jelas beliau, calon-calon yang terpilih akan diumumkan dan mereka akan memulakan latihan prasyarat bagi Pegawai Kadet pengambilan ke-15 bagi tahun 2016.

ARTIKEL YANG SAMA