Pemilihan presiden baharu FIFA tak akan selesai masalah

Pemilihan presiden baharu FIFA tak akan selesai masalah

pg23_150801_cKUALA LUMPUR, 31 Julai (AFP) – Masalah yang dihadapi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak akan berakhir dengan pemilihan presiden baharu kerana badan induk bola sepak dunia itu,yang dicemari skandal teruk memerlukan perubahan drastik, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach berkata semalam.

Bach enggan mengulas mengenai pengumuman oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini semalam bahawa dia akan menjadi calon untuk menggantikan tempat Sepp Blatter sebagai Presiden FIFA apabila pemilihan diadakan Februari tahun depan.

Tetapi katanya dalam temu bual itu, semua calon mestilah mengamalkan ketelusan. “Itu meliputi kesemua calon. Ia perlu diamalkan terutamanya kerana masalah FIFA tidak akan berakhir dengan pemilihan seorang presiden baharu.

“Mesti berlaku perubahan terhadap struktur FIFA, ketelusan mesti diperbaiki, struktur lain mesti ditransformasikan. Pemilihan presiden sahaja tidak mencukupi,” katanya. Ketua IOC itu bagaimanapun mengelak daripada terlibat dalam pertarungan merebut kerusi paling berkuasa dalam FIFA itu.

“Saya tidak akan mengulas mengenai pemilihan presiden persekutuan itu. Bukan hak saya untuk menghakimi,” katanya. FIFA digegarkan oleh penangkapan tujuh pegawai bola sepak yang dituduh menerima suapan menjelang kongresnya pada 27 Mei lalu.

Bach berucap pada hari pertama kongres itu dan meminta pembaharuan dilaksanakan.

Sehari kemudian Blatter dipilih semula untuk kali kelima sebagai presiden FIFA tetapi empat hari kemudian mengumumkan dia akan meletak jawatan.

Tujuh pegawai FIFA berkenaan adalah antara 14 orang yang didakwa oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai terlibat dalam ra­suah kontrak pemasaran bola sepak yang bernilai AS$150 juta dolar.