Pemilihan Suhaili anggotai pasukan petugas Labuan satu pengiktirafan

Pemilihan Suhaili anggotai pasukan petugas Labuan satu pengiktirafan

LABUAN, 28 Ogos – Pemilihan bekas Anggota Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman ke dalam pasukan petugas yang baru ditubuhkan untuk memberi input dalam merubah ekonomi dan menyelesaikan pelbagai isu di pulau ini, dilihat sebagai penghormatan kepada ahli politik serta penduduk di pulau ini.

Penubuhan pasukan petugas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Labuan pada 21 Ogos lepas. Zahid sendiri merupakan pengerusi pasukan petugas itu.

Suhaili, yang menjadi Anggota Parlimen Labuan selama dua penggal, berkata pemilihan beliau ke dalam pasukan petugas itu merupakan pengiktirafan kepada ahli politik tempatan yang berjuang bagi kesejahteraan pulau itu dan penduduknya.

“Ia sememangnya pengumuman yang tidak dijangkakan daripada timbalan perdana menteri, dan kebanyakan penduduk di sini menyambut baik pelantikan itu. Kita tiada pilihan melainkan memenuhi harapan bagi pembangunan serta kepentingan penduduk di sini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Suhaili yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) daripada University of London dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, menjadi Anggota Parlimen Labuan dari 1999 hingga 2008.

Menerusi pasukan petugas itu, antara isu yang akan ditangani melibatkan sektor minyak dan gas; barangan pengguna yang mahal; cukai baharu kastam yang membebankan penduduk Labuan; status Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah; projek di Labuan bagi kontraktor setempat; dan permit penerbangan sewa khas dari China ke Labuan.

Zahid menyuarakan keyakinan bahawa pasukan petugas itu, yang akan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam minggu pertama bulan depan, akan membantu mencari penyelesaian untuk memulihkan ekonomi Labuan.

Pemerhati politik tempatan berkata pelantikan Suhaili merupakan pengiktirafan kepada sumbangan beliau terhadap pembangunan pulau bebas cukai ini sepanjang tempoh dua penggal menjadi Anggota Parlimen Labuan.

“Tidak syak lagi, penyiapan projek pembangunan utama dengan piawaian antarabangsa seperti Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Arena Boling Antarabangsa Labuan adalah antara yang dibina semasa beliau menjadi Anggota Parlimen dan telah menarik kedatangan pengunjung dan ahli sukan dari dalam serta luar negara,” kata ahli akademik Dr Ibrahim Mohamad. – Bernama