Pemilihan sukarelawan perlu melalui tatacara formal

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Dalam proses pengambilan sukarelawan daripada mana-mana pihak, sebaik-baiknya ia perlu dilakukan melalui mekanisma formal menurut tatacara yang dipersetujui oleh pihak Kementerian Kesihatan dan juga pihak-pihak yang berkenaan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham bin Jaafar berkata demikian ketika menjawab usul daripada Yang Berhormat Dayang Hafimi binti Abdul Haadii pada hari keenam Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara, hari ini mengenai khidmat sukarelawan dalam mengukuhkan lagi sifat kemasyarakatan di samping memberi galakan kepada belia untuk mempertimbangkan kerjaya dalam perkhidmatan kesihatan

“Memandangkan negara ini mempunyai ramai sukarelawan daripada pelbagai organisasi, kerja-kerja sukarelawan dalam perkhidmatan kesihatan bukanlah satu perkara baru tetapi perlu mengambil kira beberapa perkara penting terutama sekali isu-isu confidentiality serta keselamatan pesakit bagi memastikan semuanya terjaga,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, sukarelawan sebaik-baiknya juga hendaklah menjalani pemeriksaan serta latihan yang sewajarnya bagi mengelakkan sebarang pendedahan bahaya kepada pesakit contohnya risiko jangkitan penyakit, fall-prevention dan sebagainya terutama dalam melibatkan pesakit kanak-kanak ataupun pesakit kurang upaya.

Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham.

Antara pegawai dan kakitangan kerajaan yang hadir mendengarkan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari keenam, kelmarin. – Gambar Infofoto

“Antara contoh kerja-kerja sukarelawan yang dimaksudkan dalam perkhidmatan kesihatan adalah seperti membantu pesakit dalam menguruskan temu janji, memberikan sokongan moral kepada pesakit kanser, membantu dan menemani pesakit pediatrik atau kanak-kanak dalam rawatan terapi dan dokongan terutama dalam rawatan ‘Play Therapy’.

“Di samping itu, sukarelawan juga boleh memberikan khidmat bantuan di bahagian rehabilitasi seperti dalam pemberian rawatan fisioterapi,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Pada dasarnya pihak sukarelawan daripada organisasi bukan kerajaan amat digalakkan untuk terlibat sama dalam membantu meningkatkan keberkesanan pemberian perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Walaupun pendedahan berkenaan perlu dalam mengukuhkan lagi sifat kemasyarakatan di samping memberi galakan kepada mereka untuk mempertimbangkan kerjaya dalam perkhidmatan kesihatan, namun, adalah wajar proses pengambilan sukarelawan tersebut diperbincangkan bersama pihak yang berkepentingan pada satu sesi di luar nanti.