Pemilik kebun temui buaya liar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Seekor buaya berukuran lima meter telah ditemui pemilik kebun di Kampung Katimahar Agri Park, Jalan Kecil Paya Teriti, hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) melaporkan bahawa mereka menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira-kira 8 pagi tadi. Empat orang anggota bomba dan sebuah jentera dari Balai Bomba Jerudong dengan diketuai ASO Yusof bin Bujang segera dikerahkan ke tempat kejadian di mana mereka juga memberi bantuan untuk menangkap reptilia tersebut.

JBP menyarankan kepada orang ramai jika sekiranya ternampak binatang berkenaan di kawasan mereka atau di kawasan awam, segeralah membuat laporan kepada pihak JBP dan jangan sesekali menghampiri atau berhasrat untuk mengancam binatang berkenaan dikhuatiri perkara tidak diingini akan terjadi.

Buaya sepanjang lima meter yang ditemui oleh pemilik kebun di Kampung Katimahar Agri Park, kelmarin.