Pemilik kenderaan terjejas akan dihubungi

Pemilik kenderaan terjejas akan dihubungi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Berikutan isu penarikan balik beg udara Takata di seluruh dunia, Persatuan Peniaga-peniaga Automobil Brunei (BATA) telah dan akan mengambil langkah-langkah bagi memastikan keselamatan para pelanggan di negara ini.

Isu itu dibangkitkan apabila lebih daripada 20 juta buah kenderaan daripada pembuat kereta utama ditarik balik kerana risiko beg udara yang dibuat oleh Takata tidak mengembung dengan sempurna dan mungkin pecah dalam kejadian kemalangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BATA, kira-kira 7,000 buah kenderaan yang merangkumi 23 model dari enam jenama terkemuka di Negara Brunei Darussalam, iaitu Nissan, Toyota, Honda, Mazda, Mitsubishi dan BMW, terjejas dalam kempen penarikan semula itu.

BATA turut memberi jaminan kepada kesemua para pelanggannya bahawa ahli-ahli BATA mempunyai sistem perkhidmatan pelanggan yang efektif untuk menangani setiap keperluan dan kebimbangan pelanggan.

p01-1_20150724

Oleh itu, BATA terus komited untuk memastikan keselamatan dan keyakinan pelanggan-pelanggannya terus diberikan keutamaan dengan persatuan itu mengambil langkah perlu untuk menghubungi setiap pemilik kenderaan yang terjejas secara peribadi bagi mengaturkan penggantian alat pengepam beg udara yang dikaitkan dengan isu beg udara itu apabila alat gantian itu diterima.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, di antara cabaran yang dihadapi oleh ahli-ahli BATA adalah ketersediaan alat pengepam berkenaan dan juga usaha untuk menghubungi pemilik-pemilik kenderaan yang terjejas kerana terdapat beberapa orang pemilik telah menukar nombor perhubungan mereka atau menukar milik kenderaan berkenaan.

Dalam hubungan itu, pihak BATA sedang bekerjasama dengan rapat bersama Jabatan Pengangkutan Darat untuk memperoleh maklumat terkini mengenai pelanggan atau pemilik baru kenderaan yang terjejas untuk membolehkan mereka dihubungi secara langsung.

Pada masa yang sama, ahli-ahli BATA juga bekerjasama rapat dengan syarikat pembuat automobil untuk mempercepatkan perolehan alat pengepam berkenaan bagi mempercepatkan lagi proses penggantian.

Di bawah adalah senarai model dan jenama kenderaan yang terjejas dalam penarikan balik itu di Brunei.

Bagi pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan dan ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian hotline yang disertakan.

ARTIKEL YANG SAMA