Pemilik premis tidak serik

Pemilik premis tidak serik

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 30 Julai – Meskipun kerap diserbu, seorang pemilik premis yang dipercayai judi siber masih berdegil dengan menjadikan premisnya sebagai port aktiviti haram terbabit.

Akibatnya, premis yang terletak di Jalan Wong Tsap En diserbu lagi anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Limbang, malam kelmarin.

Dalam serbuan yang dijalankan jam 8.23 malam, dua lelaki dipercayai penjaga premis ditahan.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata serbuan dijalankan oleh anggota polis diketuai Inspektor Kantharuban Rajoo.

SERBU..Anggota polis merampas pelbagai peralatan komputer dipercayai mengandungi perisian judi siber.
SERBU..Anggota polis merampas pelbagai peralatan komputer dipercayai mengandungi perisian judi siber.

“Hasil pemeriksaan kita berjaya merampas pelbagai peralatan yang disyaki mengandungi pelbagai perisian judi siber.

“Antaranya sebelas unit monitor, sebelas unit CPU, sebelas unit tetikus dan sebelas unit keyboard serta wang tunai RM305,”ujarnya lagi.

Beliau berkata semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Limbang. Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.