Pemilik Red Bull kecewa

Pemilik Red Bull kecewa

SPIELBERG, Austria, 21 Jun (AFP) – Bos Red Bull, Christian Horner mengesahkan pemilik pasukan, Dietrich Mateschitz serius menarik diri daripada saingan Formula Satu (F1) seandainya perlumbaan elit itu berterusan membuatkannya tidak bermotivasi.

Selepas mengharungi sesi ujian masa pertama mengejutkan, semalam di perlumbaan dianggap laman sendiri, Grand Prix Austria di Red Bull Ring, Horner berkata bosnya itu memang jarang bercakap namun apabila dia membuka mulut, mereka perlu mendengar apa yang ingin diperkatakan.

“Dietrich tidak selalu bercakap dengan orang ramai, namun apabila dia melakukannya, kamu perlu mendengarnya,” kata Horner. “Dia menyuarakan pendapat dan pandangannya. Dia paling kecewa dengan keadaan ketika ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai masa depan pasukan yang menjuarai gelaran dunia empat kali itu dalam F1, Horner menambah: “Saya bukannya berada di kedudukan yang boleh bercakap mengenai perkara itu.

“Dietrich adalah pengerusi. Dia adalah pemilik. Kamu perlu mendengar apa yang dikatakan. Harapnya, ia tidak perlu menjadi seperti itu. Kami perlu mencari jalan penyelesaian.

“Ini adalah kepentingan F1 untuk menyaksikan Red Bull berada dalam sukan ini,” katanya.

Red Bull ketika ini berterusan mengkritik F1 yang dilihat sedikit mencemarkan imej perlumbaan itu dengan Horner berkata, peningkatan terbaharu terhadap enjin Renault adalah kritikal terhadap kebangkitan pasukannya.

“Saya fikir dengan semua perkara ini, tiada suatu pun perkara yang mudah. Jika kamu melihat kepada defisit kami dan dibandingkan dengan Mercedes, kamu boleh katakan ia 80 peratus disebabkan enjin, mungkin 20 peratus lagi mengenai casis.

“Penyelesaiannya, sudah jelas, cara paling pantas untuk kami meningkat prestasi ialah lebih kuasa.

Ibu pejabat Renault sedang bekerja keras bagi pihak Renault, namun apa yang mengecewakan mengenai enjin ialah ia mengambil masa.

“Kami jelas kurang sabar untuk meningkatkan prestasi daripada jentera. Kami semua bekerja keras di belakang tabir dan masa akan menentukannya,” kata Horner.

Selepas mendominasi dunia F1 sejak 2010 hingga 2013, Red Bull bergelut pada 2014 yang menyaksikan kejuaraan beralih kepada Mercedes.

Keputusan itu turut menyaksikan pemandu bintangnya, Sebastian Vettel membuat keputusan untuk berhijrah ke Ferrari musim ini.