Pemilik restoran diculik lelaki bersenjata

Pemilik restoran diculik lelaki bersenjata

MANILA, 8 Okt (AFP) – Lelaki-lelaki bersenjata telah menculik pemilik sebuah restoran Itali yang juga bekas paderi di selatan Filipina, menurut pihak berkuasa hari ini, dengan melahirkan kebimbangan bahawa dia telah dibawa ke pulau yang menjadi sarang kumpulan pelampau Abu Sayyaf itu.

Enam suspek, empat orang menyamar sebagai pelanggan, telah menculik Rolando del Torchio dalam serbuan pantas yang mengejutkan orang ramai yang sedang menikmati makan malam di restoran pizanya di bandar pelabuhan sepi, Dipolog semalam, menurut jurucakap ketenteraan serantau.

Kumpulan itu mengikat Roland, 56 tahun dan memasukkannya ke dalam sebuah van yang sedang menanti, yang kemudian memecut laju menuju bandar Manukan kira-kira 50 kilometer jauhnya, yang mana mereka telah memindahkannya ke motobot, Kapten Roy Vincent Trinidad memberitahu AFP.

Kapal-kapal tentera dimaklumkan supaya memintas penjenayah-penjenayah itu selepas perisikan mengatakan bot itu telah belayar di sepanjang pinggir laut semenanjung Zamboanga ke arah pulau barat laut, Jolo, kira-kira 40 kilometer jauhnya, tambahnya.

Jolo adalah pangkalan utama Abu Sayyaf yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, yang telah dianggap dalang serangan ganas yang mengakibatkan paling banyak kematian, pemancungan kepala dan penculikan pelancong asing dan pendakwah Kristian di Filipina.

“Kesemua penculikan di semenanjung berakhir di Jolo. Itulah coraknya,” kata Trinindad.

“Tebusan-tebusan telah dibawa ke kawasan itu akhirnya akan diserahkan kepada Abu Sayyaf.”

Abu Sayyaf telah terlibat dalam penculikan warga tempatan dan warga asing yang kerap berlaku dalam usaha yang kerap berjaya untuk memeras ugut wang tebusan.

Seorang ketua kampung Filipina yang diculik dari semenanjung barat daya sama pada Mei ditemui tanpa kepala tiga bulan kemudian selepas kerajaan enggan membayar wang tebusan.