Pemilik restoran diseru tingkat kebersihan premis

Pemilik restoran diseru tingkat kebersihan premis

KUALA BELAIT, 30 April – Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria akan mengadakan pemeriksaan penilaian penggredan kebersihan ke atas lebih 70 buah restoran dan kedai makan yang dikawal oleh jabatan itu untuk tahun ini.

Pemeriksaan penilaian yang diadakan setiap dua tahun sekali, itu dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut dua fasa, dan bagi fasa pertama, jabatan berkenaan telah pun selesai memeriksa 36 daripada 78 buah restoran dan kedai makan, manakala 42 buah lainnya akan diperiksa pada bulan Jun depan bagi fasa kedua.

Sehubungan itu, Taklimat Penilaian Penggredan Kedai-Kedai Makan dan Restoran di bawah Kawalan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah diadakan hari ini, di dewan Bandaran dekat sini, dengan dihadiri lebih 100 orang dalam kalangan pemilik-pemilik dan wakil daripada kedai-kedai makan dan restoran di daerah ini.

Hadir di majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Bandaran, Haji Ali bin Matyassin, serta ahli-ahli panel penilaian penggredan termasuk Pegawai Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Kuala Belait, Hajah Norlelawati binti Haji Johari, Ahli Lembaga Bandaran, Haji Shaikh Khalid bin Haji Shaikh Ahmad dan Pengerusi Majlis merangkap Penolong Pegawai Bandaran 1, Awang Abu Bakar bin Abdullah.

Haji Ali dalam ucapan alu-aluannya, menekankan setiap kedai-kedai makan dan restoran bukan sahaja mementingkan menu makanan yang sedap tetapi penting menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran untuk menarik lebih ramai pengunjung bukan saja dari dalam negeri bahkan juga para pelancong luar negeri.

Antara para pemilik restoran dan kedai makan yang menghadiri taklimat itu.
Antara para pemilik restoran dan kedai makan yang menghadiri taklimat itu.

Dalam pada itu, antara tujuan taklimat itu adalah untuk memberikan lebih kefahaman kepada para pemilik supaya akan lebih memperbaiki dan mempertingkatkan lagi penggredan kebersihan restoran dan kedai makan mereka daripada aspek kebersihan, keselamatan makanan, kelengkapan, keselesaan dan perkhidmatan sebelum melalui pemeriksaan kedua iaitu terakhir untuk diiktiraf Sijil Penggredan Kebersihan sama ada memperolehi Gred A, B atau C.

Sijil Penggredan Gred A menunjukkan Cemerlang dengan mendapat markah 91 hingga 100 peratus, manakala Gred B Sangat baik dengan markah 81 hingga 90 peratus dan Gred C Baik dengan markah 71 hingga 80 peratus.

Penyampaian Sijil Penggredan Kebersihan bagi Fasa 1/2015 dijangka akan dilakukan sebelum menjelangnya bulan Ramadan nanti.

ARTIKEL YANG SAMA