Pemilik rumah pantas padam kebakaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Tindakan pantas seorang perempuan telah berjaya memadamkan kebakaran di dapur rumahnya di Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang, yang dipercayai berpunca daripada masakan yang ditinggalkan tengah hari tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat melaporkan bahawa mereka telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 1:02 petang tadi dan segera mengerahkan dua jentera dan 13 orang anggota dari Balai Bomba Muara dengan diketuai ABK 124 Mustapa bin Haji Shahdan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kebakaran telah pun dipadamkan oleh pemilik rumah warga tempatan berkenaan menggunakan air paip melalui hos getah sebelum pihak bomba sempat bertindak.

Menurut pihak bomba, kebakaran melibatkan dapur gas yang mana bahangnya terkena di bahagian dinding dan siling.

Tiada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan dan kerugian akibat kejadian itu dianggarkan berjumlah $1,000.

Berikutan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan supaya penduduk di negara ini meningkatkan lagi aspek keselamatan khususnya mengenai kebakaran di mana jua berada bagi mengurangkan kadar kejadian dan kehilangan nyawa dengan memastikan premis/bangunan/rumah dilengkapi dengan alat pencegah kebakaran seperti alat pemadam api, selimut api, alat pengesan asap.

Selain itu, pastikan kepala dan hos silinder gas LPG mengikut piawaian yang betul dan diiktiraf oleh pihak BSM, tidak meninggalkan masakan semasa memasak di dapur, sentiasa menutup atau menanggalkan kepala gas jika tidak menggunakannya bagi mengelakkan sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan kebakaran dan mengawasi keberadaan serta keselamatan anak-anak semasa bermain bunga api dan elakkan mereka daripada bermain mancis / pemetik api.

Jika berlaku sebarang kecemasan, hubungi terus talian kecemasan 995 Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan segera.