Pemilik The Foxes minat beli AirAsia Thai

Pemilik The Foxes minat beli AirAsia Thai

BANGKOK, 6 Mei (Bernama) – Pemilik Kelab Bola Sepak Leicester City (LCFC), King Power International Group dilaporkan sedang mengintai peluang pengambilalihan Asia Aviation yang merupakan operator syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Thai.

Menurut laporan akhbar The Nation hari ini, King Power yang dimiliki oleh jutawan Vichai Srivaddhanaprabha, merancang untuk mengembangkan bisnes ke dalam sektor penerbangan bagi meningkatkan jualan kedai-kedai bebas cukai miliknya.

“Keluarga Srivaddhanaprabha dilaporkan telah membelanjakan tiga bilion baht (RM1 = 8.55 baht) membeli saham dalam Asia Aviation, menjadikan mereka sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat penerbangan itu dengan kepentingan 23 peratus,” kata The Nation.

Vichai, yang juga Pengerusi LCFC, juara Liga Perdana Inggeris baru-baru ini merupakan lelaki kesembilan terkaya di Thailand, menurut majalah Forbes pada tahun lepas.

Vichai Srivaddhanaprabha yang merupakan lelaki kesembilan terkaya di Thailand. - AFP
Vichai Srivaddhanaprabha yang merupakan lelaki kesembilan terkaya di Thailand. – AFP

King Power yang membeli LCFC pada 2010, mengendalikan kedai-kedai bebas cukai di Kompleks King Power di Bangkok serta di lapangan terbang Suvarnabhumi, Don Mueang, Pattaya, Phuket, Chiang Mai dan Hatyai.

Menurut The Nation lagi, rundingan untuk pengambilalihan berlangsung selama sebulan sebelum kedua-dua pihak bersetuju.

Bagaimanapun, akhbar itu juga memetik Ketua Eksekutif AirAsia Thai, Tassapon Bijleveld menafikan wujud pemeteraian perjanjian untuk pengambilalihan syarikat penerbangan bajet tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA