Pemilik Veloster dapat pemeriksaan kereta percuma

Pemilik Veloster dapat pemeriksaan kereta percuma

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Syarikat Setia Motors Sdn Bhd pagi tadi memberikan perkhidmatan pemeriksaan percuma bagi kesemua kereta model Hyundai Veloster milik ahli-ahli Kumpulan Pemilik Veloster Brunei (VOGB) di Bilik Pameran Setia Motors Sdn Bhd, Beribi.

Menerusi perkhidmatan itu, kereta-kereta berkenaan melalui pemeriksaan awal sebelum kereta dibawa untuk penyelenggaraan, yang termasuk sistem analisis enjin, transmisi, beg udara, dan kalibrasi MDPS.

Di samping itu, para pemilik kereta turut berpeluang mendengar penjelasan daripada pasukan teknikal bertauliah Hyundai mengenai masalah dan cara penjagaan kereta.

Dalam pada itu, menerusi acara berkenaan ahli-ahli juga mengisi masa lapang dengan berkumpul dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama mereka

Tiga pemilik Volester bersama kereta mereka yang memenangi hadiah hiasan tercantik semasa pemeriksaan berkenaan.
Tiga pemilik Volester bersama kereta mereka yang memenangi hadiah hiasan tercantik semasa pemeriksaan berkenaan.

Pegawai Eksekutif Pemasaran dan Jualan Setia Motors Sdn Bhd, Awang Fadhillah Sulaiman berkata, selain pemeriksaan kereta yang bernilai $35, Setia Motors Sdn Bhd turut memberikan peluang kepada orang ramai untuk membuat uji pandu Hyundai Veloster yang diperbaharui dan setiap pelanggan yang membuat uji pandu tersebut menerima beg kulit Hyundai secara percuma.

Apa yang menarik, Setia Motor turut memberikan hadiah wang tunai kepada tiga pemilik kereta Veloster yang mempunyai hiasan luaran dan dalaman tercantik.

Pemenangnya ialah Awang Mohd Faris bin Mohammad Ali di tempat pertama dengan menerima $300, tempat kedua jatuh kepada Awang Mohd Ariffin bin Haji Pinne dan membawa pulang $200, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Awang Abdul Wafi bin Haji Ibrahim yang menerima B$100. Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Awang Fadhillah.

ARTIKEL YANG SAMA