Pemimpin China, Asia bincang projek Mekong

PHNOM PENH, Kemboja, 10 Jan – Pemimpin-pemimpin negara di sepanjang Sungai Mekong Asia Tenggara hari ini berhimpun di ibu negara Kemboja di tengah-tengah desakan oleh China untuk membina lebih banyak empangan yang mengubah aliran air dan meningkatkan kebimbangan alam sekitar.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Kemboja, Hun Sen dan Perdana Menteri China, Li Keqiang yang juga disertai oleh pemimpin Thailand, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Matlamat utama forum Kerjasama Mekong-Lancang dibentuk oleh China dalam 2015 adalah untuk mempromosikan pembangunan mapan dan peningkatan kualiti kehidupan bagi berjuta-juta orang tinggal di subrantau Mekong.

Dikenali sebagai Lancang di China, Sungai Mekong merupakan pengairan penting kepada Asia Tenggara di mana lebih daripada 60 juta orang bergantung kepadanya dan cabang sungainya bagi makanan, air dan pengangkutan.

Sungai ke-12 terpanjang dunia itu mengalir sepanjang 5,000km dari penara Tibet ke bawah tanah besar Asia Tenggara sebelum berakhir di Laut China Selatan di Vietnam. Lembangan sungai itu merupakan habitat kepada 1,700 spesies ikan, menjadikan ia lembangan paling biodiversiti selepas Amazon dan Congo. –AP