Pemimpin dunia bersatu kecam keganasan

Pemimpin dunia bersatu kecam keganasan

ANTALYA, Turki, 16 Nov (Agensi) – Pemimpin dunia semalam bersatu untuk mengecam keganasan di sidang kemuncak yang dikawal ketat di sini selepas penembakan dan serangan bom di Paris, meskipun berbeza pendapat mengenai peperangan di Syria.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Vladimir Putin dari Russia, Presiden China Xi Jinping dan pemimpin lain berkumpul di Antalya, pusat peranginan Mediterranean selama dua hari selepas serangan di Paris.

Obama mengecam serangan yang membunuh 129 orang di ibu negara Perancis itu serta pengeboman berkembar di Ankara bulan lalu dengan menyifatkannya sebagai serangan terhadap dunia bertamadun.

Beliau juga berikrar menggandakan usaha bagi menghapuskan rangkaian Negara Islam (IS).

“Kami bersatu dengan Perancis dalam usaha memburu pelaku jenayah ini dan mengheret mereka ke muka pengadilan,” kata Obama, selepas berunding dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Para pemimpin menghadiri sesi kedua permesyuaratan di Sidang Kemuncak G20 di Peranginan Mediterranean Antalya, Turki. - AFP
Para pemimpin menghadiri sesi kedua permesyuaratan di Sidang Kemuncak G20 di Peranginan Mediterranean Antalya, Turki. – AFP

Pembunuhan di Paris menjejaskan semangat sidang kemuncak G20 yang membabitkan 20 negara ekonomi terbesar dunia dengan keselamatan dan konflik Syria kini membayangi agenda ekonomi.

Sidang itu juga akan membincangkan cara menangani krisis pelarian, perubahan iklim dan cukai.

Recep berkata, sidang kemuncak itu kini berbeza selepas pembunuhan di Paris.

“Saya percaya pendirian kami terhadap keganasan antarabangsa akan dinyatakan dengan tegas pada sidang G20 ini. Tindakan pengganas bukan sahaja terhadap rakyat Perancis, tetapi juga kemanusiaan,” katanya.

Pemimpin Russia, Putin berkata, usaha menangani keganasan global boleh dilakukan sekiranya masyarakat antarabangsa menyatukan tindakan mereka.

Putin menjadi orang penting dalam sidang itu yang berlangsung tanpa kehadiran pemimpin Perancis Francois Hollande.