Pemimpin FIFA mesyuarat, terus dikecam

Pemimpin FIFA mesyuarat, terus dikecam

ZURICH, 20 Okt – Jawatankuasa eksekutif FIFA bermesyuarat hari ini ketika Pemangku Presiden Issa Hayatou cuba untuk mengemudikan badan induk bola sepak itu menempuh ribut skandal terbaru yang membadai ibu pejabat mereka di Zurich.

Mesyuarat luar biasa telah diumumkan pada 9 Oktober selepas jawatankuasa etika menggantung Presiden Sepp Blatter, Setiausaha Agung Jerome Valcke, dan Michel Platini selama 90 hari daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.

Ketiga-tiga mereka diharamkan daripada menghadiri apa yang akan menjadi mesyuarat pertama jawatankuasa eksekutif tanpa kehadiran Blatter sejak 40 tahun dan Hayatou melihat usaha mengembalikan kepercayaan orang ramai sebagai satu keutamaan.

Hayatou dari Cameroon menerajui FIFA ketika badan itu dilanda skandal terburuk dalam sejarah 111 tahun organisasi itu dan jauh daripada urusan seperti biasa.

“Ia sudah tentu situasi yang tidak pernah berlaku kepada FIFA.

Tetapi kami terus memberi tumpuan kepada proses pembaharuan yang perlu, pilihan raya presiden dan menyokong siasatan semasa,” kata lelaki berusia 69 tahun itu.

“Memulihkan kepercayaan orang ramai adalah matlamat penting. Penting juga bagi FIFA menjalankan misinya untuk membangunkan permainan dan menganjurkan kejohanan antarabangsa.”

Dalam agenda, jawatankuasa eksekutif akan mendengar cadangan pertama daripada jawatankuasa pembaharuan FIFA yang ditugaskan untuk mencadangkan perubahan dalam koridor kuasa dengan matlamat untuk mengembalikan kredibilitinya yang telah tercemar.

Peningkatan keperluan untuk lebih telus mengenai ganjaran juga dibincangkan, tetapi latar belakang mesyuarat itu masih mengenai perebutan kuasa menjelang pilihan raya presiden FIFA 26 Februari depan pada kongres luar biasa.

Pemimpin FIFA bertemu di Zurich dengan organisasi dikecam oleh semua pihak. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA