Pemimpin fikir positif, rendah diri

Pemimpin fikir positif, rendah diri

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Untuk menjadi seorang pemimpin yang lebih berjaya, mereka perlu berubah ke arah pemikiran positif diikuti dengan rasa rendah diri, kepercayaan diri untuk meningkatkan kebolehan serta memiliki disiplin untuk terus bekerja keras ke arah yang lebih baik.

Ciri-ciri pemimpin berjaya ini digariskan oleh pemikir perniagaan 10 teratas di dunia, Dr. Marshall Goldsmith, ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Executive Power Breakfast & Mahaguru Lecture Series’ yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, di sini, pagi tadi. Beliau seterusnya menjelaskan, bagi pemimpin yang ingin memiliki pemikiran positif, mereka perlu bertanyakan soalan penting dalam diri sendiri setiap hari.

“Soalan penting itu seperti, adakah mereka melakukan yang terbaik untuk membuat kemajuan ke arah mencapai matlamat mereka dan untuk membina hubungan yang positif dan adakah mereka tahu apa yang terbaik untuk terlibat sepenuhnya? Ini akan membantu mereka jadi lebih baik,” jelas beliau.

Sementara itu, dalam temu bual ringkas selepas ceramah berkenaan, beliau menyatakan bahawa apabila kedudukan pemimpin itu semakin tinggi maka makin sukar bagi mereka untuk mengetahui perkara sebenar kerana apa yang berlaku adalah disebabkan oleh dua perkara.

Dr. Marshall bergambar ramai bersama setiausaha-setiausaha tetap dan pegawai kanan kerajaan yang menghadiri taklimat tersebut.
Dr. Marshall bergambar ramai bersama setiausaha-setiausaha tetap dan pegawai kanan kerajaan yang menghadiri taklimat tersebut.

“Kerana pangkat yang semakin tinggi mereka mendapat lebih banyak maklum balas yang positif kerana mereka disegani, ini membuatkan mereka mula berasa lebih baik daripada orang lain tetapi bahagian yang kurang baik tidak diketahui, oleh itu mereka tidak dapat melihat kekurangan yang terdapat pada diri mereka sendiri.” Perkara kedua pula, setiap kali mereka semakin naik pangkat maka mereka akan mendapat lebih kuasa yang lebih dan orang mula takut untuk memberitahu perkara sebenar atau memberi komen akan kekurangan mereka, ujar beliau.

Taklimat anjuran Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri itu menumpukan kepada setiausaha-setiausaha tetap dan ketua-ketua pengarah diikuti dengan Kuliah Mahaguru sesi pertama untuk ketua-ketua jabatan dan pengarah.

Manakala itu, sesi kedua pada sebelah petang pula adalah untuk pegawai-pegawai pengurusan peringkat menengah termasuk pegawai-pegawai pentadbiran.

Dr. Marshall Goldsmith yang juga merupakan pelatih eksekutif terbaik telah dijemput untuk menjadi jurucakap dalam sesi taklimat bertemakan ‘Kepimpinan Global’ tersebut.

Dengan tajuk Developing Ourselves, Our People and Our Engagement beliau menyentuh mengenai lima kualiti pemimpin global masa hadapan yang antaranya bagaimana menggunakan model yang terbukti boleh digunakan untuk mengembangkan diri sebagai pemimpin, melatih orang lain dan membina rakan kongsi serta mencapai impian persendirian dan banyak lagi.