Pemimpin Khmer Rouge mula dibicarakan

Pemimpin Khmer Rouge mula dibicarakan

PHNOM PENH, 2 Julai (AFP) – Dua bekas pemimpin Khmer Rouge hari ini memulakan perbicaraan rayuan terhadap sabitan mereka atas jenayah ke atas kemanusiaan pada tahun lalu yang melihat mereka dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah sokongan PBB Kemboja.

“Abang Nombor Dua” Nuon Chea, 88, dan bekas pemimpin Khieu Samphan, 83, merupakan pemimpin pertama rejim yang bertanggungjawab atas kematian dua juta penduduk Kemboja yang akan dipenjarakan.

Namun peguam mereka segera membuat rayuan, dengan kumpulan Nuon Chea menuduh mahkamah melakukan beberapa kesilapan dan hakim gagal bersikap tidak berat sebelah disebabkan pengalaman peribadi mereka di bawah rejim komunis dari 1975-1979.

Pasangan itu duduk di mahkamah dengan kumpulan peguam bela mereka hari ini tatkala 300 orang menyaksikan prosiding daripada galeri awam.

Nuon Chea, memakai kaca mata hitam, meninggalkan bilik selepas itu untuk menyaksikan prosiding berasingan daripada sebuah sel tahanan, dengan peguamnya berkata beliau mengalami sakit belakang.

“Dalam nama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakyat Kemboja, mahkamah membuka satu perbicaraan rayuan pihak ke atas keputusan bertarikh 7 Ogos,” kata Hakim Kong Srim, presiden Dewan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah dijangka mendengar keterangan daripada tiga saksi yang dipanggil oleh peguam Nuon Chea, termasuk sekurang-kurangnya dua bekas pegawai Khmer Rough – ketika perbicaraan yang dijadual diadakan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menurut satu dokumen tribunal, keputusan rayuan dijangka keluar pada suku pertama 2016..

Dipimpin oleh “Abang Nombor Satu” Pol Pot, yang meninggal dunia pada 1998 tanpa dihadapkan ke muka pengadilan, Khmer Rouge merobohkan masyarakat moden dalam usaha mereka untuk mendirikan agrarian utopia dan hampir satu perempat daripada penduduk Kemboja dihapuskan menerusi kelaparan atau pembunuhan.