Pemimpin mahu TPP diteruskan

Pemimpin mahu TPP diteruskan

LIMA, Peru, 20 Nov – Semua pemimpin negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), termasuk Malaysia komited mahu inisiatif perdagangan bebas itu diteruskan untuk menjadi kenyataan, walaupun mempunyai opsyen sekiranya Amerika Syarikat (AS) membuat keputusan sebaliknya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam sesi pertemuan pemimpin negara TPP di luar persidangan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini Sabtu yang dipengerusikan Presiden AS Barack Obama, Najib berkata, negara terlibat sebulat suara mahu ia diteruskan.

TPP merupakan inisiatif perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang melibatkan 12 negara APEC iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Jepun.

Selepas mengharungi proses rundingan kira-kira enam tahun, beliau berkata semua negara TPP bersetuju untuk proses domestik diluluskan badan perundangan atau Parlimen masing-masing serta meneruskan pindaan undang-undang sewajarnya bagi memberi isyarat yang jelas bahawa negara TPP komited agar inisiatif itu menjadi kenyataan.

“Kita komited mahu TPP diteruskan tapi sekiranya pendirian AS tidak mahu menyertai TPP barulah 11 negara berbincang alternatif kepada bentuk TPP sedia ada,” kata Najib kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri program hari pertama mesyuarat pemimpin ekonomi APEC itu di sini pada Sabtu.

Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) ketika sesi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima Convention Centre pada 20 November. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) ketika sesi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima Convention Centre pada 20 November. – Bernama

Najib berkata, walaupun terdapat banyak opsyen lain, namun Malaysia berpendapat terlalu awal untuk membincangkannya.

Beliau berkata, soal perdagangan bebas tidak hanya terikat dengan TPP tetapi terdapat juga inisiatif lain seperti Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau.

“Tapi kita tidak mahu beri gambaran kita sudah pun menyerah kalah dalam soal TPP, kita kena teruskan dengan harapan ia menjadi kenyataan.

“Melainkan pendirian AS sebaliknya tidak menyokong TPP, barulah kita melihat opsyen lain.

Walaupun dalam kepala kita ada opsyen, tapi terlalu awal untuk membincangkan perkara tersebut,” katanya.

Najib berkata, dalam sesi TPP itu, Obama memaklumkan mengenai perkembangan semasa TPP serta sokongan anggota Kongres dan komuniti perniagaan terhadapnya.

Beliau berharap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Donald Trumph dapat meneliti dan mempertimbangkan kepentingan TPP kepada Asia Pasifik untuk memberi laluan TPP menjadi kenyataan. – Bernama