Pemimpin muda ASEAN bertemu Presiden Obama

Pemimpin muda ASEAN bertemu Presiden Obama

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Seramai 75 pemimpin muda dari negara anggota ASEAN, termasuk dari Brunei Darussalam, baru-baru ini, telah menghadiri Acara Rumah Putih yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, sebagai penutup program Persahabatan (Fellowship) Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), di Washington, AS.

Menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei Darussalam, hari ini, para pemimpin muda berkenaan telah menamatkan program-program akademik dan profesional yang intensif di AS sebagai peserta YSEALI Presiden Obama.

Peserta dari Negara Brunei Darussalam ialah Genevieve Yee dari Jerudong Park Medical Center, Awang Mohamad Khalid bin Mohamad Khairullah dari Institut Teknologi Brunei, dan Dayangku Nur Syazwina binti Pengiran Haji Yasmin dari Universiti Brunei Darussalam, yang turut menghadiri acara berkenaan.

Kenyataan menambah, Genevieve yang merupakan Fellow Profesional, berada di AS untuk mendapatkan pengalaman bekerja dengan rakan-rakan sejawatan Amerika dalam pertubuhan-pertubuhan bukan untung, kerajaan negeri dan setempat, serta pejabat-pejabat sektor swasta.

Selepas bertemu dengan Presiden Obama, Genevieve dipetik sebagai berkata, “Peluang luar biasa berada di dalam bilik yang sama, bercakap dengan presiden dan menjawab soalan kami, merupakan satu pengalaman terbaik dalam hidup saya.

Rakan-rakan YSEALI ketika bertemu Presiden Obama di Rumah Putih, Washington, AS.
Rakan-rakan YSEALI ketika bertemu Presiden Obama di Rumah Putih, Washington, AS.

“Beliau merupakan inspirasi dan model peranan bagi orang muda di mana-mana dan melalui inisiatif YSEALI, beliau telah membuktikan bahawa banyak yang boleh ditawarkan oleh ASEAN dan pemimpin-pemimpin mudanya adalah gelombang masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Awang Mohammad Khalid dan Dayangku Nur Syazwina pula berada di AS sebagai Fellow Akademik, menyertai satu program yang memfokuskan ke atas isu-isu alam sekitar.

Semasa pertemuan itu, Presiden Obama bercakap mengenai kaitannya dengan rantau ASEAN, “Saya mempunyai hubungan istimewa dengan Asia Tenggara. Pada masa kanak-kanak, saya tinggal di Jakarta (Indonesia).

“Selama bertahun-tahun, ibu saya bekerja di kampung-kampung untuk membantu wanita memperbaiki kehidupan mereka. Jadi Asia Tenggara telah membantu membentuk siapa diri saya kini dan bagaimana saya melihat dunia,” ujarnya.

Jemputan lain pada acara itu termasuk duta-duta ke AS dari 10 negara anggota ASEAN, para pegawai Jabatan Negara, perwakilan Majlis Perniagaan AS-ASEAN, dan orang-orang kenamaan dari kumpulan pemikir dan komuniti akademik.

Dilancarkan pada 2013, YSEALI merupakan program pengenalan Presiden Barack Obama untuk mengukuhkan pembangunan dan rangkaian kepimpinan di ASEAN. Komuniti YSEALI merangkumi pemimpin-pemimpin muda berusia 18-35 tahun dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Burma, Filipina, Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Untuk mendaftar sebagai ahli YSEALI dan menerima maklumat mengenainya dan peluang-peluang masa depan, bolehlah melayari laman sesawang http://youngsoutheastasianleaders.state.gov/, dan bagi maklumat lanjut juga boleh layari http://brunei.usembassy.gov/yseali.html.

ARTIKEL YANG SAMA