Pemimpin perlu berkorban

Pemimpin perlu berkorban

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Hasrat untuk melahirkan bakal pemimpin masa depan yang akan mewarisi kepimpinan negara memerlukan satu usaha yang tersusun dan sistematik kerana mereka bakal menyambung generasi kepimpinan yang sedia ada.

Sehubungan itu, pemimpin seharusnya diberi latihan dan ‘input’ kepimpinan selaras dengan peranan dan tugas mereka, kerana kewajipan melahirkan pemimpin amat dituntut sebagai ibadah dan memerlukan pengorbanan yang berterusan tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit.

Pandangan itu disuarakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof ketika berucap selaku Tetamu Kehormat pada Majlis Perasmian Kursus Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar 2015/2016 Persatuan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Agama Seri Begawan, (KUPU SB) hari ini.

Menurutnya, Islam telah memberi panduan tentang kriteria yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin, iaitu yang mementingkan kesejahteraan masyarakat dengan menekankan bahawa setiap pemimpin yang dilantik perlu memiliki empat kriteria sebagai syarat untuk menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi.

Empat kriteria itu terkumpul dalam empat sifat yang dimiliki oleh para nabi dan rasul sebagai pemimpin umat.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan ucapan perasmian kursus.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan ucapan perasmian kursus.
Para ahli baru Majlis Perwakilan Pelajar melafazkan ikrar.
Para ahli baru Majlis Perwakilan Pelajar melafazkan ikrar.

“Sifat pertama ialah ‘shiddiq’ iaitu kebenaran dan kesungguhan dalam sikap, ucapan dan tindakan dalam melaksanakan tugas, manakala sifat kedua ialah amanah dan kepercayaan yang diberikan kepadanya dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya,” ujar beliau.

Sementara sifat ketiga ialah ‘fatanah’, iaitu cergas, bijak dan cekap dalam menjalankan tugas dan menangani setiap masalah, dan keempat ialah sifat ‘tabligh’, iaitu menyampaikan secara jujur dan bertanggungjawab atas segala tindakan yang dibuat.

Katanya lagi, beliau difahamkan yang kursus itu bermatlamat untuk menjana kepelbagaian strategi pengurusan aktiviti hal ehwal pelajar yang menjurus kepada kesempurnaan dan kecemerlangan kerja serta kualiti.

Kursus itu juga menjurus kepada kecekapan dan keberkesanan dalam organisasi serta mewujudkan mahasiswa yang bekerjasama dan bertoleransi, melahirkan pemimpin yang berkeyakinan tinggi, berketerampilan dan berdaya tahan dari segi mental dan fizikal.

Beliau seterusnya berharap agar objektif tersebut dapat dicapai sepanjang para pelajar mengikuti kursus tersebut.

Pada majlis itu, seramai 27 pelajar dari pelbagai kursus yang dipilih untuk menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan KUPU SB Sesi 2015/2016, yang diketuai oleh Awang Adiman bin Musa, telah melafazkan ikrar Majlis Perwakilan Pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA