Pemimpin perniagaan Asia Pasifik ramal model perniagaan 2020 berbeza

Pemimpin perniagaan Asia Pasifik ramal model perniagaan 2020 berbeza

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pemimpin perniagaan Asia Pasifik meramalkan bahawa model perniagaan pada tahun 2020 akan kelihatan sangat berbeza berbanding hari ini dan mereka percaya bahawa organisasi mereka sudah bersedia untuk menghadapi perubahan dalam persekitaran perniagaan yang pantas pada ketika ini, demikian menurut laporan baharu yang dikeluarkan oleh syarikat pengukuran global, Nielsen pada hari ini.

Laporan Nielsen, Asia 2020 – Membangun, Bersedia atau Pesimistik, mendapatkan pandangan pemimpin kanan di kalangan komuniti perniagaan Asia Pasifik mengenai persekitaran perniagaan yang mengubah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Laporan ini mendapati bahawa lebih tiga perempat (76 peratus) daripada pemimpin perniagaan menjangka model perniagaan mereka dalam lima tahun datang akan mengalami perbezaan yang sangat ketara berbanding hari ini.

Manakala 48 peratus percaya bahawa organisasi mereka sudah bersedia untuk masa hadapan, 43 peratus yakin bahawa mereka mempunyai sistem dan proses yang teratur serta berupaya mengesan petunjuk awal bagi perubahan; dan sebanyak 59 peratus mengakui bahawa adalah sukar atau sangat sukar untuk memajukan organisasi mereka.

Pilihan pengguna, dasar perundangan atau politik, peraturan dan percukaian, pembangunan ekonomi dan pesaing-pesaing baharu adalah antara aspek-aspek perubahan yang lazim dijangka oleh pemimpin perniagaan.

“Kadar perubahan di Asia Pasifik adalah dilihat semakin pantas dan tiada rantau lain yang berubah dengan lebih eksponen berbandingnya,” kata Regan Leggett, Pengarah Eksekutif Nielsen, Thought Leadership and Foresight, Asia Tenggara, Asia Utara dan Pasifik.

“Beberapa perubahan seperti pertumbuhan populasi, pergerakan demografi dan perubahan dalam perundangan atau percukaian dilakukan secara ansuran, manakala yang lain adalah lebih pantas dan lebih fokus seperti perubahan pilihan pengguna atau teknologi-teknologi terkini yang berpotensi untuk mewujudkan impak besar dari segi cara perniagaan beroperasi.

Separuh daripada pemimpin kanan percaya bahawa peruncit akan merasai impak ‘positif’ dalam industri dan pasaran mereka dalam lima tahun akan datang, sementara perniagaan atas talian dan e-dagang dipilih sebagai faktor yang paling ketara dalam mempengaruhi perubahan persekitaran runcit.

“Ternyata sekali teknologi mengubah jejak peruncitan,” kata Leggett.

E-dagang bukan lagi menjadi domain tunggal bagi jualan pelancongan, buku dan muzik. Pada ketika ini, e-dagang merupakan saluran runcit terbesar di Korea, manakala di Indonesia pula jualan runcit atas talian mengalami pertumbuhan kira-kira 50 peratus setahun.