Pemimpin sekolah hebat penting untuk pendidikan

Pemimpin sekolah hebat penting untuk pendidikan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Masa depan Brunei, generasi akan datang dan pembangunan ekonomi negara bergantung kepada sistem pendidikan negara dan oleh itu, kepimpinan para pemimpin sekolah amat penting untuk memenuhi keperluan dan menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Usaha untuk membangunkan dan meningkatkan lagi pencapaian keseluruhan akademik dan kemahiran para pelajar harus dilaksanakan dengan segera supaya mereka lebih kompetitif pada peringkat global yang memerlukan pemimpin sekolah untuk menetapkan hala tuju, mengambil tanggungjawab untuk terus meletakkan pembelajaran sebagai satu keutamaan.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika berucap di Forum Pendidikan Kebangsaan keenam yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

“Terutama sekarang, apabila pendidikan di Brunei Darussalam sedang mengalami satu masa transformasi yang bermakna dengan pelbagai keperluan dan harapan bagi inisiatif pendidikan rendah dan menengah,” kata Yang Berhormat Pehin.

Para pemimpin sekolah memainkan peranan penting dalam menerajui hala tuju pembelajaran dan pengajaran di sekolah untuk melahirkan generasi pemimpin negara yang akan datang, jelas Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Para pemimpin sekolah memainkan peranan penting dalam menerajui hala tuju pembelajaran dan pengajaran di sekolah untuk melahirkan generasi pemimpin negara yang akan datang, jelas Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

“Sebagai seorang pemimpin sekolah, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membuat satu kelainan dalam pendidikan anak-anak tempatan serta mempunyai impak bagi pemimpin generasi akan datang.

“Para pemimpin sekolah yang hebat dan bertenaga amat penting bagi sistem pendidikan negara kerana mereka mampu untuk merubah haluan kehidupan kanak-kanak untuk mencapai yang lebih baik.

“Mereka mampu untuk menerangi dan menanam sikap ingin tahu dalam kalangan pelajar supaya mereka memahami kuasa pembelajaran,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin menyatakan seramai 181 orang pemimpin sekolah yang berjaya menamatkan Program Bagi Pemimpin-pemimpin Sekolah Kanan Brunei (BPSSL) diraikan pada forum berkenaan.

Dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh mereka akan terus melaksanakan projek-projek dan amalan terbaik untuk memperbaiki lagi mutu pembelajaran dan pengajaran di sekolah masing-masing.

Pelaksanaan BPSSL merupakan usaha berterusan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama dari Institut bagi Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam serta National College for Teaching and Leadership (NCTL), Nottingham, bagi mengendalikan program yang menumpukan kepada pembangunan kepimpinan peribadi pemimpin sekolah, kepimpinan dalam pembelajaran dan pengajaran, memimpin kumpulan dan individu secara efektif serta mengurus dan memimpin organisasi serta untuk memimpin dan mengurus perubahan transformasi.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin berkata NCTL dan ILIA dengan input daripada para pemimpin sekolah juga telah merangka Standard Kepimpinan Sekolah Brunei Darussalam (BDSLS) yang diharap dapat memastikan kepimpinan sekolah yang berkualiti tinggi yang diperlukan untuk mencapai Wawasan 2035.

Standard berkenaan, tambahnya lagi, menyediakan peluang bagi para pemimpin sekolah untuk menjadi lebih baik dan membangun serta mengukuhkan lagi latihan, pembangunan serta pengambilan para pemimpin sekolah yang bercita-cita.

ARTIKEL YANG SAMA